Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tubuh Suruhanjaya Siasat Penipuan Pilihan Raya

mb pendemokrasian pengundi ragu 01

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan Selangor akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) bulan lalu.

Penubuhan suruhanjaya ini selaras dengan kuasa yang diberikan kepada kerajaan di bawah Seksyen 2(3)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajan Negeri berpendapat penyelewengan pilihan raya melibatkan kepentingan awam.

“Satu sektretariat diketuai oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad, yang akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor esok, akan bertindak sebagai penyelaras bagi memastikan suruhanjaya ini bergerak lancar,” menurut Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Kerajaan negeri juga akan mengumumkan ahli panel yang dilantik serta syarat dan peraturan suruhanjaya ini tidak lama lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Negeri berpendirian penyelewengan pilihan raya adalah kesalahan serius yang boleh merosakkan sistem demokrasi negara.

?(Adalah) amat penting untuk kerajaan negeri menyiasat dakwaan itu bermula dari akar umbi,? kata Abdul Khalid.

PRU-13 lalu yang berlangsung pada 5 Mei lalu dianggap sebagai pilihan raya terkotor di negara ini.

Ini terbukti apabila sejumlah 60 petisyen yang difailkan Pakatan Rakyat (PR) dan BN merupakan jumlah petisyen terbanyak yang pernah dicatatkan dalam mana-mana pasca pilihan raya umum sebelumnya.

Daripada jumlah keseluruhan 60 petisyen itu, 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Categories
SELANGOR

Walau Dihalang SPR : Tugas Mafrel Pantau Pilihan Raya Tidak Terjejas

SHAH ALAM 3 OGOS : Tugas Badan Malaysia Untuk Pilihan raya Bebas dan Adil (Mafrel) tidak akan terjejas walaupun pihak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) tidak mengiktiraf tugas badan itu bagi memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata untuk penambahbaikan proses demokrasi sewajarnya pihak SPR mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan pemantauan dan memberikan input dan maklum balas yang baik untuk memperbaiki perjalanan pilihan raya.

“Mafrel akan meneruskan kerja dan kini sedang rancak untuk melaksanakan pemantauan semasa PRU-13, bagi Mafrel sendiri kita akan bertindak berdasarkan pengalaman dan perancangan yang sudah kita buat.

“Mafrel untuk melaksanakan tugas tidak akan terhalang kerana proses pemantauan ini luas, ia bukan hanya pemantauan pada hari mengundi tetapi merangkumi tugas untuk memeriksa daftar mengundi yang boleh dilaksanakan bila-bila masa sahaja,” kata Syed Noh ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar beliau lagi, Mafrel masih boleh membuat pemantauan semasa proses penamaan calon yang boleh dilakukan daripada luar kawasan yang ditetapkan SPR dan juga pada waktu berkempen.

“Yang mungkin tidak boleh ialah cuma di kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai kawasan larangan oleh pihak SPR khususnya pusat penamaan calon dan pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi,lain-lain tempat adalah terbuka untuk Mafrel melaksanakan pemantauan,” katanya.

Sebelum ini, SPR memutuskan untuk tidak memberi akreditasi kepada badan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya berikutan aduan yang diterima.

Sementara itu,Syed Noh menegaskan keperluan untuk pihak pemantau antarabangsa dibenarkan bagi melaksanakan tugas dengan pemantauan semasa PRU-13 nanti.

“Pemantau antarabangsa akan membuat pemantauan secara umum dan peringkat tertinggi sahaja seperti soal keselamatan,demokrasi dan hak asasi secara umum,”katanya.