Categories
NASIONAL

Mat Sabu: Merdeka 55 Tahun Tetapi Pemerintahan Umno Tidak Matang

JENJAROM 7 SEPT : Corak pemerintahan Umno-BN dilihat semakin hari tidak menunjukkan kematangan dan berat sebelah walaupun sudah memerintah negara sekian lama.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu berkata hal itu dapat dilihat daripada tindakan Umno-BN yang mempergunakan polis demi kepentingan politik mereka.

Beliau turut mempersoalkan tindakan polis yang bertindak pantas mengambil tindakan ke atas beberapa individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan Janji Demokrasi pada malam sambutan ambang kemerdekaan baru-baru ini.

“Mengapa polis bertindak segera apabila gambar Najib dipijak? Dan kenapa polis tidak bertindak sebegitu apabila beberapa individu menunjuk punggung kepada Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga?

“Begitu juga dengan gambar Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang gambarnya dikencing serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menerima kek berbentuk najis.

“Banyak kes seperti itu melibatkan pembangkang tetapi tidak ada sebarang tindakan daripada polis. Sekarang bila Umno-BN sudah terkena baru mereka rasa. Jika tidak suka orang buat jangan kita mulakan dulu,” katanya dalam ucapan di Ceramah Perdana, di Sungai Rambai, semalam.

Mat Sabu berkata polis perlu bersikap profesional dan adil dalam mengambil sebarang tindakan dalam insiden itu.

“Jika mahu bertindak, bertindaklah secara adil bukan mengikut telunjuk Umno-BN. Kalau mahu ambil tindakan ambil tindakan ke atas semua,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan menunjuk punggung dan memijak gambar Najib itu bukannya arahan atau idea daripada Pakatan Rakyat (PR).

Malah PR juga tidak berniat untuk menukar bendera Malaysia seperti yang dilakukan oleh beberapa individu yang membawa bendera Sang Saka pada sambutan yang sama.

“Kami sama sekali tidak setuju perkara itu berlaku, jika marah sekalipun perkara itu tidak seharusnya dilakukan. Ia tidak menggambarkan amalan kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.