Categories
NASIONAL

PKR Lancar Trailer Jelajah Merdeka

PETALING JAYA 7 SEPT: PKR memperkenalkan trailer Jelajah Merdeka Rakyat yang akan digunakan sebagai pentas utama dalam siri bertemu rakyat di seluruh negara.

Majlis perasmian ringkas disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan Ibu Pejabat PKR hari ini.

Trailer yang dilengkapi pentas utama dan sistem audio akan memulakan perjalanan ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor untuk jelajah hujung minggu ini.

Difahamkan trailer ini merupakan sumbangan peribadi individu yang menyokong siri jelajah yang dibuat PKR selepas perasmian bas dua tingkat Jelajah Merdeka Rakyat yang disumbangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bulan lalu.

Wan Azizah dalam ucapan ringkas berkata inisiatif yang diperkenalkan PKR merupakan satu perkembangan politik yang baik dan tidak menjadi masalah sekiranya idea ini ingin digunakan pihak lain.

Jelasnya, PKR dan Pakatan Rakyat begitu komited untuk mengajak rakyat membawa perubahan bersama kepada Malaysia tercinta dan menyelami erti merdeka yang sebenar.

“Kita buat bukan untuk popular atau pangkat. Kami mahu bersama rakyat membuat perubahan untuk Malaysia.

“Kalau pihak sana (Umno-BN) boleh buat lebih baik, buatlah. Biarlah berlaku persaingan yang sihat dimana kita boleh buat dan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat sebelum ini menjelajah ke Kelantan, Kedah dan Utara Perak selain berhadapan serangan ‘samseng’ di Kota Bharu.

Ekoran kejadian tersebut, cermin hadapan pemandu pecah selain kesan simbahan cat merah namun kerosakkan tersebut dibaiki.

Leave a Reply

Your email address will not be published.