Categories
SELANGOR

MB: Jumpa Persatuan Pekilang Untuk Baiki Infrastruktur

KLANG 10 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan perbincangan bersama persatuan pekilang-pekilang di negeri Selangor bulan depan bagi menambahbaik infrastruktur kilang-kilang terlibat.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur kilang terbabit seiring dengan bayaran premium yang dibayar pengusaha kilang kepada Kerajaan Negeri.

“Kita mempunyai rekod semua bayaran premium pekilang-pekilang selama empat tahun lalu dan Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengembalikan bayaran tersebut dalam bentuk peningkatan infrastruktur,” katanya ketika merasmikan sambutan ulangtahun ke-12 Persatuan Pekilang-Pekilang Telok Gong(PPTG) di SJK(C) Kong Hoe, Klang malam tadi.

Turut hadir, Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hien Wah, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Presiden PPTG, Wong Soh Seng serta ahli-ahli PPTG.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pekilang-pekilang di negeri ini dalam melakukan penyelidikan dan peningkatan kualiti supaya sentiasa mengeluarkan produk yang terbaik untuk bersaing di dalam dan luar negeri.

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana menyumbang 27 peratus daripada sektor pembuatan pembuatan di negara ini selain turut menyumbang 40 peratus peluang pekerjaan di Malaysia.

“Perusahaan kecil dan sederhana merupakan tulang belakang kepada pergerakan peningkatan industri pembuatan di Malaysia dan Telok Gong merupakan contoh kepada keadaan tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, matlamat PPTG yang ditubuhkan pada tahun 2001 ini adalah bagi memastikan operasi pengeluaran kilang-kilang berkeadaan baik, membantu mendapatkan sijil layak menduduki bangunan (CF) selain menyelesaikan proses pemutihan kilang-kilang haram di kawasan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.