Memerangi Jenayah Dengan Membuat Cheese Cake

KUALA LUMPUR 19 OKT : Dalam kesibukan mengejar rutin hariannya yang padat, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail sempat mencuri masa bersantai sambil berkongsi resepi kek kejunya.

Sesi bersantai bersama Wan Azizah juga bagi memupuk kesedaran untuk memerangi jenayah terhadap wanita.

Ia merupakan sebahagian usaha mempromosi laman “Kaum Ibu Malaysia Menentang Jenayah (Malaysian Mothers Against Crime)” di Facebook yang diusahakan Biro Komunikasi PKR.

“Ini bukanlah satu usaha parti politik semata-mata tetapi ia lebih kepada usaha ibu-ibu menentang jenayah (mothers against crime).

“Sebagai ibu, kita merasa lebih bertanggungjawab untuk memelihara anak daripada sebarang kejadian tidak diingini,” jelasnya dalam sidang media sejurus selesai demonstrasi membuat kek keju.

Beliau berharap orang ramai dapat berkongsi pengalaman dalam laman Facebook tersebut agar dapat memberi peringatan kepada kaum wanita untuk lebih berhati-hati.

“Walaupun kerajaan menyatakan persepsi jenayah telah menurun, namun kita (wanita) perlu berhati-hati dan berjaga-jaga.

“Andaikata sesuatu jenayah terjadi pada kita, itu adalah 100 peratus kepada kita,” tegasnya yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mensasarkan 10,000 ‘like’ untuk kempen yang dijalankan di Facebook tersebut.

Sehingga kini, laman yang diwujudkan pada 7 Jun lalu berjaya mengumpul 1047 ‘likes’ dari pengguna Facebook.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah sempat menyiapkan dua biji kek keju dalam demonstrasi yang diadakan di dapur kediamannya di sini pagi tadi.

Kek keju yang diperbuat dengan keju buatan Malaysia, limau kasturi, yogurt, telur, biskut juga mempunyai ramuan istimewa iaitu blueberries.

Leave a Reply

Your email address will not be published.