Categories
NASIONAL SELANGOR

Perbendaharaan, SPRM dan PAC perlu Siasat Laporan Ketua Audit Negara 2011

SHAH ALAM, 19 OKT : Perbendaharaan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC) didesak melakukan penyiasatan rapi terhadap isu-isu yang dibangkitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, perhatian mestilah diberikan terhadap kes-kes berprofil tinggi yang mungkin dengan sengaja tidak dibawa ke perhatian umum.

Katanya, ia ekoran tapisan awal pemerintah bagi mengelak liabiliti seperti yang berlaku dalam kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan penyalahgunaan wang zakat.

“Laporan Audit 2011 ini menyebut terdapat kajian Jabatan Audit Negara di dalam isu pertukaran saham MAS -AirAsia dan projek Pelabuhan Pendaratan yang gagal dan bermasalah.

“Namun demikian laporan audit tidak membuat sebarang rujukan terhadap kes-kes tersebut, sedang masyarakat awam menuntut suatu ketelusan.

“Begitu juga dengan isu penyelesaian luar mahkamah Tan Sri Tajuddin Ramli yang melibatkan ratusan juta ringgit dana awam.” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, Laporan Audit juga membisu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah syarikat ‘super GLC’ walaupun Jabatan Audit Negara ada melakukan kajian .

Ia juga ditambah ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat banyak kali menimbulkan keraguan mengenai pengurusan syarikat tersebut.

Sepanjang tempoh 2011, sekurang-kurangnya dua kali Kementerian Kewangan telah membuat pembentangan mengenai 1MDB sekaligus membuktikan wujudnya isu tertentu yang sepatutnya dilaporkan di dalam laporan audit ini.

“Sudah tiba masanya Jabatan Audit Negara diangkat sebagai satu suruhanjaya bebas,” katanya.

Tambah beliau walaupun perjawatan Ketua Audit Negara adalah dijamin di bawah Perlembagaan setara dengan bidang kehakiman bagi memastikan kebebasannya.

Namun demikian terdapat jurang perbezaan yang luas di antara kuasa Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara .

“Ia kerana bajet dan operasinya berada di dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri lalu menimbulkan keraguan mengenai statusnya sebagai agensi pemantau yang bebas,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.