Categories
NASIONAL

Najib Tidak Layak Jaga Hal Ehwal Wanita

SHAH ALAM 5 OKT : Datuk Seri Mohd Najib Razak digesa meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipangkunya kerana gagal memperkasakan golongan wanita.

Ini kerana semasa pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu berlaku penurunan sebanyak enam peratus untuk peruntukkan golongan wanita yang disifatkan gagal memberikan perhatian kepada usaha mengangkat martabat golongan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, bajet itu juga hanya menumpukan kepada pembangunan keusahawanan dan mamosel sahaja serta tidak memberi perhatian kepada 12 lagi kategori wanita yang memerlukan pembelaan.

“Memang sepatutnya Najib sudah tidak duduk di jawatan itu, kerana memalukan bukan sahaja kepada golongan wanita, tetapi juga seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pemimpin dan pelindung kepada wanita itu sendiri,” kata Rodziah dalam sidang medianya.

Ujar Rodziah, walaupun ada golongan lelaki yang memegang jawatan portfolio wanita di negara-negara lain tetapi mereka berjaya membawa dimensi baru kepada pemerkasaan dan usaha mengangkat martabat golongan wanita.

“Dalam tempoh Menteri Wanita yang dipegang oleh Lelaki pada sekitar tahun 2000 di Indonesia ,banyak yang positifnya yang dilakukannya apabila berjaya menaikkan pemahaman golongan lelaki berkenaan sensitiviti perbezaan gender yang mana golongan lelaki juga perlu sensitif tentang isu-isu wanita,” ujarnya.

Katanya, peranan yang perlu dimainkan oleh Najib perlu lebih besar untuk memperkasakan golongan wanita dengan program-program pemberdayaan tetapi beliau gagal melaksanakan tugas itu.

Najib memangku jawatan itu setelah ia dikosongkan oleh Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil yang diasak hebat dalam isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) selepas tempoh perkhidmatannya sebagai Senator berakhir pada 8 April lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published.