Categories
NASIONAL

PAS tolak bersatu dengan BN

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: PAS mengulangi pendiriannya untuk kekal sebagai pembangkang walaupun wujud dakwaan bahawa parti itu akan membentuk kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata Malaysia memerlukan pembangkang untuk mengetahui sama ada dasar kerajaan berkesan atau tidak.

“Tidak perlu PAS bersatu dengan Umno tetapi kita mahu menjadi pembangkang yang membina supaya tidak dilabel hanya tahu membangkang sahaja.

“Mana yang tidak bagus kita akan tegur, kalau baik akan sokong untuk kepentingan rakyat,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, PAS dan BN tidak perlu bersatu memandangkan dua parti itu memiliki dasar berbeza.

Bagaimanapun, katanya, politik matang perlu ada dalam negara ini walaupun setiap parti memiliki ideologi berbeza.

“Jika perkara itu baik untuk rakyat, maka boleh rentas sempadan politik tetapi kewujudan pembangkang perlu untuk ‘check and balance'”,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu akan terus menjadi pembangkang dan tidak akan sesekali menyertai BN untuk membentuk kerajaan campuran.

Beliau berkata, pertemuan yang dilakukan bersama pemimpin BN sebelum ini adalah berkisarkan masalah rakyat bukan kerjasama politik.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perbendaharaan, SPRM dan PAC perlu Siasat Laporan Ketua Audit Negara 2011

SHAH ALAM, 19 OKT : Perbendaharaan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC) didesak melakukan penyiasatan rapi terhadap isu-isu yang dibangkitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, perhatian mestilah diberikan terhadap kes-kes berprofil tinggi yang mungkin dengan sengaja tidak dibawa ke perhatian umum.

Katanya, ia ekoran tapisan awal pemerintah bagi mengelak liabiliti seperti yang berlaku dalam kes Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan penyalahgunaan wang zakat.

“Laporan Audit 2011 ini menyebut terdapat kajian Jabatan Audit Negara di dalam isu pertukaran saham MAS -AirAsia dan projek Pelabuhan Pendaratan yang gagal dan bermasalah.

“Namun demikian laporan audit tidak membuat sebarang rujukan terhadap kes-kes tersebut, sedang masyarakat awam menuntut suatu ketelusan.

“Begitu juga dengan isu penyelesaian luar mahkamah Tan Sri Tajuddin Ramli yang melibatkan ratusan juta ringgit dana awam.” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, Laporan Audit juga membisu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah syarikat ‘super GLC’ walaupun Jabatan Audit Negara ada melakukan kajian .

Ia juga ditambah ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat banyak kali menimbulkan keraguan mengenai pengurusan syarikat tersebut.

Sepanjang tempoh 2011, sekurang-kurangnya dua kali Kementerian Kewangan telah membuat pembentangan mengenai 1MDB sekaligus membuktikan wujudnya isu tertentu yang sepatutnya dilaporkan di dalam laporan audit ini.

“Sudah tiba masanya Jabatan Audit Negara diangkat sebagai satu suruhanjaya bebas,” katanya.

Tambah beliau walaupun perjawatan Ketua Audit Negara adalah dijamin di bawah Perlembagaan setara dengan bidang kehakiman bagi memastikan kebebasannya.

Namun demikian terdapat jurang perbezaan yang luas di antara kuasa Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara .

“Ia kerana bajet dan operasinya berada di dalam bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri lalu menimbulkan keraguan mengenai statusnya sebagai agensi pemantau yang bebas,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pemuda Pas : Belanjawan 2013 PR, Bukti Kesediaan Ke Putrajaya


SHAH ALAM,27 SEPT : Belanjawan 2013 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) adalah bukti gagasan itu merangka strategi alternatif ekonomi nasional yang amat relevan untuk diangkat sebagai tawaran pembaharuan sebenar.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata,Belanjawan PR ini adalah terjemahan konsep negara berkebajikan bagi memastikan kekayaan negara tidak berkisar di kalangan penguasa dan pemodal semata-mata.

Ujarnya,Belanjawan PR 2013 yang bertemakan “Ekonomi Rakyat Negara Berkat” tepat memberi penekanan memacu kebajikan rakyat dengan meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Ia juga membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan.

“Kelak Umno-BN dan pengampu-pengampu mereka tidak boleh lagi berhujah bahawa Pakatan  cuma pandai beretorik dan membuat omongan kosong.

Ianya kerana Belanjawan PR ini buat kesekian kalinya telah menjelaskan tawaran kita secara objektif, profesional dan bijaksana,” kata Nasrudin dalam kenyataan medianya.

Semalam, Pakatan Rakyat mengumumkan Belanjawan Alternatif 2013 berjumlah RM 234 bilion.

Categories
NASIONAL

Nasrudin : Selebriti Dan Artis Dalam Pas Bukti Parti Itu Bukan Fanatik

SHAH ALAM, 20 JUL : Sambutan hangat dari kalangan selebriti tanah air terhadap perjuangan PAS sejak kebelakangan ini membuktikan parti itu bukanlah fanatik agama semata-mata dan menolak hiburan.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi, PAS berjaya memberi pemahaman kepada golongan selebriti dan masyarakat umumnya bahawa parti itu adalah fleksibel dan menerima hiburan berasaskan syarak.

Beliau berkata, masyarakat kini lebih bijak menilai dan tidak lagi dimomokkan dengan dakwaan Umno-BN yang kononnya PAS berfikiran sempit dan akan menyebabkan negara kucar-kacir sekiranya diberi peluang memerintah Malaysia kelak.

“Kita dimomokkan dengan dakwaan bahawa ramai golongan selebriti akan diasingkan daripada PAS, kononnya kalau PAS memerintah negara, mereka akan kehilangan punca rezeki dan periuk nasi mereka akan ditutup.

“Tetapi, kita menjelaskan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan oleh syarak. Ternyata mereka berjaya memahaminya dan menyertai perjuangan PAS untuk menegakkan Islam di tanah air ini,” katanya ketika menjawab soalan moderator semasa Debat Sinar di Auditorium Karangkraf, di sini petang tadi.

Debat itu  menggandingkan Nasrudin bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya untuk membincangkan Topik PRU13: Orang Muda Pilih Siapa.

Debat berkenaan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Sementara itu ketika menjawab soalan moderator berhubung pemilihan calon PAS dari kalangan artis, Nasrudin berkata, ia tertakluk di bawah keputusan jawatan kuasa Pas untuk menilai karaktor dan kewibawaan seseorang individu untuk menjadi pemimpin.

Katanya lagi, populariti bukan menjadi pengukur yang menentukan seseorang itu layak diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Bukan makna apabila dia menjadi tokoh atau selebriti, maka dia akan diangkat menjadi calon dalam pilihan raya.
?Itu adalah soal teknikal, dalaman parti kita akan putuskan. Yang pasti kita akan berikan yang terbaik kerana kita tidak mahu calonnya nanti tidak telus dan tidak adil,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan golongan muda kini semakin berani membuat pilihan dan mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, golongan muda semakin jelak dengan fahaman politik yang berasaskan emosi dan auta, sebaliknya mereka mahukan politik ilmu dan fakta.

Selain itu katanya, pemimpin yang dipilih juga haruslah mempunyai asas agama yang baik serta bermoral untuk memastikan pentadbiran negara adalah bersih dan bebas daripada amalan korupsi.