Categories
SELANGOR

Selangor Agro Fest Sasar RM1 Juta Jualan dan 500,000 Pengunjung

SHAH ALAM, 30 OKT: Selangor Agro Fest 2012(SAF 2012) yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 16 Disember ini mensasarkan hasil jualan sebanyak RM1 juta dengan kehadiran 500,000 pengunjung.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, program anjuran Kerajaan Negeri ini dimulakan pada tahun lalu bakal menyediakan pelbagai acara menarik sesuai untuk mereka yang berkeluarga.

Katanya, program selama enam hari ini menyediakan pelbagai acara seperti pameran pertanian, ‘fun-fair’, pertandingan memasak, pertandingan sukan rakyat, pertandingan futsal, ceramah perdana, persembahan pentas serta larian SAF 2012 yang masih lagi di dalam perancangan.

“Pada tahun lalu, program ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada peniaga dan pengunjung.

“Bagi menambah kelainan pada tahun ini, SAF 2012 turut bekerjasama dengan Tourism Selangor Sdn Bhd bagi menjemput usahawan makanan seperti sate Kajang, nasi ambeng, lontong, cendol dan pelbagai lagi,” katanya di sidang media di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu, usahawan berpeluang menjalankan kerjasama perniagaan di antara pemborong, pembeli, pengedar dan pembekal bagi mempromosikan dan menjual produk mereka bagi menembusi pasaran lebih luas.

“Ini merupakan tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri bagi membantu usahawan baru dan peniaga khususnya dalam bidang pertanian, industri asas tani (IAS) dan industri kecil sederhana (IKS) dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Hadir sama ketika sidang media itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Mohd Idros Hamid.

Dalam pada itu, sempena penganjuran SAF 2012 ini, Kerajaan Negeri turut mengadakan majlis anugerah kepada usahawan-usahawan tani dari seluruh negeri Selangor seperti Anugerah Usahawan Tanaman Terbaik, Anugerah Industri Asas Tani Terbaik dan Anugerah Pengurusan Padi Terbaik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.