Categories
NASIONAL SELANGOR

Yayasan Selangor Nafi Exco Paksa MB Serah Tanah Bina Pusat Kebudayaan Cina

PETALING JAYA, 31 OKT : Yayasan Selangor (YS) menafikan dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin berhubung penglibatan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong di dalam urusan tanah seluas 16 ekar bagi pembangunan Pusat Kebudayaan Cina di Klang.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, usaha Kerajaan Negeri itu bagi kemajuan adat dan budaya bangsa Cina selain ia tepat berikutan kawasan itu tidak menikmati pembangunan sepertimana dirancang kira-kira lapan tahun lalu.

Beliau berkata, tanah tersebut juga kekal sebagai hakmilik YS yang mana segala bayaran premium masih ditanggung sepenuhnya anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

“Saya rasa itu tidak benar. Itu fitnah dan tidak betul. Kebetulan saja tanah itu dia (Kerajaan Negeri) suka dan ia tidak dimajukan seperti dirancang,” katanya dalam temubual eksklusif bersama TVSelangor di Ibu Pejabat YS di sini hari ini.

Raja Petra dalam blognya minggu lalu mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa agar YS menyerahkan tanah di Klang kepada Elizabeth bagi membangunkan pusat kebudayaan Cina.

Berdasarkan surat bertarikh 21 Mac 2011 yang dimuatnaik dalam blog berkenaan, Elizabeth memohon kepada Abdul Khalid selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Selangor untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Pusat Kebudayaan Cina Selangor untuk cadangan pembangunan Pusat Kebudayaan Agama dan Kesenian.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR) merancang pembangunan pusat kebudayaan membabitkan tiga kaum utama di Selangor iaitu Melayu, Cina dan India.

Ilham berkata, tanah di tebing Sungai Klang berkenaan memang dipenuhi dengan rumah setinggan Cina dan ada di antaranya dibina rumah ibadah kaum Cina iaitu tokong.

Menurutnya, selain itu Kerajaan Negeri pengekalan tokong yang sedia ada di dalam kawasan itu kira-kira dua ekar.

Katanya, keputusan Kerajaan Negeri bagi pembangunan pusat kebudayaan ini adalah sesuatu yang adil tetapi akibat perjanjian (era Umno-BN) yang tidak elok pada 2004.

“Kerajaan Negeri ditadbir Umno-BN pada 2004(Dr Khir Toyo) mengadakan satu perjanjian dengan syarikat Persada Istimewa Sdn Bhd (Persada Istimewa) di kawasan tanah tersebut bagi tujuan pembangunan komersil dan hartanah yang bagaimanapun tidak dijalankan hingga ke hari ini,”terangnya.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri bertindak mengambilalih bagi pembangunan lain kerana mempunyai kuasa berbuat demikian.

Ilham berkata, YS pernah beberapa kali meminta Persada Istimewa untuk mengkaji semula perjanjian usahasama dibuat tetapi pihak tersebut enggan.

“Kesannya kepada YS ialah kita yang bayar cukai dan premium yang mana sepatutnya pihak yang buat usahasama dengan kita yang bayar premium. Kita sudah menghabiskan kira-kira RM4 juta untuk perkara itu.

“Kita sekarang sedang mengambil langkah untuk menamatkan perjanjian usahasama ini secara undang-undang kerana jika tidak dibatalkan ia terdapat implikasi pada masa depan. Dia (Persada Istimewa) akan tuduh kita bersekongkol dengan Kerajaan Negeri melepaskan tanah ini,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.