Categories
NASIONAL SELANGOR

Yayasan Selangor Nafi Exco Paksa MB Serah Tanah Bina Pusat Kebudayaan Cina

PETALING JAYA, 31 OKT : Yayasan Selangor (YS) menafikan dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin berhubung penglibatan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong di dalam urusan tanah seluas 16 ekar bagi pembangunan Pusat Kebudayaan Cina di Klang.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, usaha Kerajaan Negeri itu bagi kemajuan adat dan budaya bangsa Cina selain ia tepat berikutan kawasan itu tidak menikmati pembangunan sepertimana dirancang kira-kira lapan tahun lalu.

Beliau berkata, tanah tersebut juga kekal sebagai hakmilik YS yang mana segala bayaran premium masih ditanggung sepenuhnya anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

“Saya rasa itu tidak benar. Itu fitnah dan tidak betul. Kebetulan saja tanah itu dia (Kerajaan Negeri) suka dan ia tidak dimajukan seperti dirancang,” katanya dalam temubual eksklusif bersama TVSelangor di Ibu Pejabat YS di sini hari ini.

Raja Petra dalam blognya minggu lalu mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa agar YS menyerahkan tanah di Klang kepada Elizabeth bagi membangunkan pusat kebudayaan Cina.

Berdasarkan surat bertarikh 21 Mac 2011 yang dimuatnaik dalam blog berkenaan, Elizabeth memohon kepada Abdul Khalid selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Selangor untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Pusat Kebudayaan Cina Selangor untuk cadangan pembangunan Pusat Kebudayaan Agama dan Kesenian.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR) merancang pembangunan pusat kebudayaan membabitkan tiga kaum utama di Selangor iaitu Melayu, Cina dan India.

Ilham berkata, tanah di tebing Sungai Klang berkenaan memang dipenuhi dengan rumah setinggan Cina dan ada di antaranya dibina rumah ibadah kaum Cina iaitu tokong.

Menurutnya, selain itu Kerajaan Negeri pengekalan tokong yang sedia ada di dalam kawasan itu kira-kira dua ekar.

Katanya, keputusan Kerajaan Negeri bagi pembangunan pusat kebudayaan ini adalah sesuatu yang adil tetapi akibat perjanjian (era Umno-BN) yang tidak elok pada 2004.

“Kerajaan Negeri ditadbir Umno-BN pada 2004(Dr Khir Toyo) mengadakan satu perjanjian dengan syarikat Persada Istimewa Sdn Bhd (Persada Istimewa) di kawasan tanah tersebut bagi tujuan pembangunan komersil dan hartanah yang bagaimanapun tidak dijalankan hingga ke hari ini,”terangnya.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri bertindak mengambilalih bagi pembangunan lain kerana mempunyai kuasa berbuat demikian.

Ilham berkata, YS pernah beberapa kali meminta Persada Istimewa untuk mengkaji semula perjanjian usahasama dibuat tetapi pihak tersebut enggan.

“Kesannya kepada YS ialah kita yang bayar cukai dan premium yang mana sepatutnya pihak yang buat usahasama dengan kita yang bayar premium. Kita sudah menghabiskan kira-kira RM4 juta untuk perkara itu.

“Kita sekarang sedang mengambil langkah untuk menamatkan perjanjian usahasama ini secara undang-undang kerana jika tidak dibatalkan ia terdapat implikasi pada masa depan. Dia (Persada Istimewa) akan tuduh kita bersekongkol dengan Kerajaan Negeri melepaskan tanah ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Usahasama Yayasan Selangor Beri Syarat Perlu Untung 30%

SHAH ALAM, 30 OKT : Yayasan Selangor (YS) memberi jaminan bahawa semua proses pembangunan hartanah miliknya pada masa kini dan akan datang adalah telus.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, pihaknya kini berhati-hati dan mensyaratkan pulangan projek usahasama YS (joint-venture) adalah 30:70.

Di mana YS perlu mendapat 30 peratus keuntungan daripada GDV (Gross Development Value) projek tersebut.

Jelas Ilham, ia adalah berbeza dengan proses pembangunan semasa pemerintahan Umno-BN dahulu, di mana YS hanya mendapat antara 3 hingga 5 peratus sahaja daripada GDV.

“Ini terbukti daripada pembangunan tanah di Persimpangan Jalan Raja Muda/Jalan Tun Razak, Kampung Baru apabila YS hanya mendapat sebuah bangunan bernilai RM54 juta, sedangkan GDV projek tersebut adalah sekitar RM1.8 bilion.

“Begitu juga dengan projek-projek lain seperti pembangunan tanah di Petaling Jaya, Klang dan Kelana Jaya.

“Ini dilakukan bagi menjaga kepentingan Yayasan Selangor dan rakyat negeri Selangor,” kata Ilham dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan isu tapak seluas 7.5 ekar di Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur milik YS akan dibangunkan sebagai pusat komersil sebagaimana persekitarannya yang akan dimulakan pada awal tahun 2013.

“Sebagai ganti kepada Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL), YS akan membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang boleh menampung 1,000 pelajar, yang menelan belanja tidak kurang daripada RM50 juta (tidak termasuk kos tanah).

“Kos pembinaan SBP di biayai daripada pulangan cadangan projek usahasama memajukan tapak AYSKL, Jalan Kampung Pandan dengan pulangan kepada YS tidak kurang daripada RM300 juta (“in cash and kind”),” katanya.

Ilham berkata, semua projek kini adalah melalui proses tender terbuka, berbeza pada zaman BN dahulu ia dijalankan secara rundingan terus.

Ujar beliau, semua kepincangan proses pembangunan hartanah YS pada masa dahulu akan melalui proses ‘forensic audit’ tidak lama lagi.

Categories
SELANGOR

YS Akan Heret 3 Bekas MB S’gor Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 11 MAC : Yayasan Selangor (YS) akan mengheret tiga bekas Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan tiga lagi bekas pengurus besar yayasan itu ke Mahkamah Sivil jika terdapat bukti penyelewengan aset yayasan itu sebanyak RM 500 juta.

Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki memberitahu pihaknya juga akan menuntut enam pihak yang terlibat dalam ketirisan aset itu supaya membayar balik kerugian seperti yang dilaporkan dalam Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) baru-baru ini.

” Kita juga akan menyaman mereka yang bertanggung jawab di Mahkamah Civil untuk mendapatkan kembali hak Yayasan Selangor yang telah dilesapkan oleh mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim mencadangkan YS supaya melantik Audit Bebas untuk menjalankan forensik audit.

Bagaimanapun menurut Ilham lantikan Audit Bebas itu tidak dibuat sebelum ini berikutan YS tidak mempunyai peruntukkan untuk membayar bayaran Audit Forensik yang tinggi.

Tambahnya sebelum ini juga YS masih mengharapkan tindakan dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

Pertengahan tahun 2011 lalu YS telah membuat laporan kepada SPRM. Bbagaimanapun tiada maklum balas diterima pihaknya dan prosedurnya agak merumitkan serta dilihat tindakan itu tidak berhasil.

“Aduan ke SPRM itu pernah dibuat tetapi memandangkan prosedur yang banyak jadi kami berbincang untuk menyiasat sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, bagaimanapun, sejajar dengan saranan SELCAT, YS akan memohon Lembaga Pemegang Amanah yayasan tersebut untuk mendapatkan kebenaran melantik Audit Forensik Bebas secara tender terbuka dan memohon peruntukkan kewangan YS.

Katanya, YS sebelum ini membuat kajian dari tahun 1991 hingga Mac 2008 dan mendapati ketirisan aset Yayasan Selangor adalah tidak kurang daripada RM500 juta dibawah pentadbiran UMNO-BN.

Pihak YS membuat kajian itu berdasarkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) apabila tanah YS dimajukan secara projek usahasama dengan pemaju dan pulangan yang lazimnya untuk YS hanya sekadar 30 peratus dari GDV projek itu.

Nilai GDV di kira dengan mendarab jumlah bangunan yang dibina dengan nilai sebuah bangunan yang di bina.

” Kita menyemak semula di dalam rekod kewangan berapakah nilai yang diterima dan setiap kekurangan dari apa yang patut diterima itu di kira ketirisan dan kita mendapati sekiranya dicampurkan, ketirisan semua projek usahasama bagi tempoh 1991 hingga 2007, jumlahnya adalah melebihi RM 500 juta,” jelas Ilham.

Setakat ini aset tetap yang dimiliki oleh Yayasan Selangor bernilai RM500 juta dan aset semasa dalam bentuk wang tunai berjumlah RM51 juta berbanding hanya RM21 juta pada tahun 2007.