Categories
NASIONAL

Alasan Umno-BN Tidak Bina Jambatan Ke-Tiga Klang Tak Boleh Diterima

 

SHAH ALAM 20 NOV : Jawapan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Satim Diman tentang mengapa Kerajaan Pusat Umno-BN tidak meneruskan projek jambatan ke-tiga Klang adalah alasan dangkal yang tidak boleh diterima.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, Satim berkata Kerajaan Pusat tidak meneruskan projek tersebut yang dijanjikan pada 2008 kerana Umno-BN kalah di Selangor pada pilihanraya umum tahun itu.

ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei berkata, projek tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya di bawah kawalan Kerajaan Pusat yang masih dikuasai Umno-BN.

“Alasan itu sama sekali tidak boleh diterima. Kalau mereka menggunakan alasan bahawa Umno-BN kalah maka mereka tidak bina jambatan, ini menunjukkan mereka keliru di antara keputusan dibuat oleh kerajaan atau pihak politik.

“Dalam isu ini jelas menunjukkan bahawa Umno-BN lebih bersikap politik di mana mereka mengatakan kalau menang baru mereka bina,” katanya kepada TVSelangor di lobi DNS di sini hari ini.

Ketika Satim membahaskan Belanjawan 2013 beliau mendakwa Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji di dalam manifesto pilihanraya 2008 (PRU-12).

Shuhaimi mencelah dengan membangkitkan isu jambatan ketiga di Klang yang tidak dibina Umno-BN.

Satim memberi alasan projek tersebut tidak diteruskan kerana Umno-BN kalah di dalam PRU-12 dan kehilangan kuasa di Selangor.

Di luar DNS, Shuhaimi berkata jambatan tersebut tidak disiapkan bahkan rancangan membinanya juga tidak dimasukkan dalam mana-mana rancangan pembangunan persekutuan.

“Ini jelas membuktikan apa yang disebut (Menteri Kerja Raya) Samy Vellu pada masa itu sebagai satu janji politik semata-mata untuk menarik undi menyokong mereka.

“Pada saya mereka lari dari tanggungjawab yang sebenar kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk menyeksa rakyat Selangor,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.