Categories
AGENDA NASIONAL

Tawaran Maju Holdings ambil alih PLUS masih dalam penilaian

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Cadangan rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia, masih dalam proses penilaian, menurut Kementerian Kerja Raya.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, cadangan tawaran itu, yang melibatkan pengurangan kadar tol yang ketara, kelihatan menarik.

“Menteri berkenaan (Baru Bian) menyatakan kementerian telah menerima cadangan daripada Maju Holdings dan masih dalam proses menilai merit dan daya majunya.

“Kementerian akan membentangkan dalam Kabinet – ‘Langkah ke Hadapan bagi Jalan Raya Bertol di Malaysia’ pada awal bulan depan, yang akan berdasarkan kepada laporan akhir yang disediakan oleh perunding bebas pada Januari 2019,” menurut kementerian itu.

Kenyataan itu turut menyatakan hanya selepas keputusan Kabinet dibuat, kerajaan akan dapat mempertimbangkan semua cadangan mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini, termasuk tawaran Maju Holdings-PLUS.

Pada 22 Ogos, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum membuat keputusan mengenai cadangan Maju Holdings-PLUS dan mengesahkan kutipan tol lebuh raya itu akan diteruskan walaupun konsesi PLUS diambil alih oleh mana-mana entiti lain.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dilaporkan pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cadangan hapus tol diserah kepada Kabinet Jun ini

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kementerian Kerja Raya akan menyerahkan semua cadangan berkaitan tol termasuk cadangan penghapusan kutipan tol kepada kabinet, pada Jun ini.

Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata kementerian telah melantik perunding audit bebas bagi membantu menganalisis data dan cadangan berkaitan perkara berkaitan.

“Konsultan audit bebas ini akan mencadangkan semua cadangan kepada kerajaan berhubung isu tol, penghapusan dan sebagainya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat suntikan kewangan kepada Syarikat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai langkah menghapuskan kadar tol di lebuh raya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Hasan yang ingin tahu mengenai kos pembinaan Lebuhraya Utara- Selatan, Mohd Anuar berkata ia mencecah lebih RM5.9 bilion dengan tempoh konsesi semua lebuh raya bawah PLUS dilanjutkan 20 tahun kepada 2038. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Hospital Shah Alam hampir siap baru bagi peluang lawat tapak

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APR: Selepas beberapa kali memberi pelbagai alasan akhirnya Kementerian Kerja Raya membuka pintu untuk Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad melawat tapak pembinaan Hospital Shah Alam.

Khalid berkata, tawaran itu dibuat ketika Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof menjawab soalan tambahan yang dikemukakannya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

khalid samad“Hospital sudah hampir siap baru buka pintu untuk buat lawatan tapak tetapi sebelum ini saya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam tidak dijemput tetapi Tanjung Karang pula yang dijbenarkan melawat.

“Seharusnya daripada dulu lagi mereka sudah benarkan. Adakah terdapat sesuatu yang mereka tidak mahu saya lihat di tapak pembinaan ketika itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Terdahulu, Khalid menulis surat kepada Kementerian Kerja Raya untuk beliau meninjau pembinaan hospital yang gagal disiapkan mengikut jadual asal.

Fadillah YusofBagaimanapun, kementerian berkenaan seakan cuba mengelak dengan beberapa kali menundakan tarikh lawatan yang mereka sendiri tetapkan melalui lima pucuk surat yang dihantar kepada Khalid.

Hospital berkenaan sepatutnya siap, pada 25 Jun 2012 tetapi terpaksa ditunda kepada Oktober 2013, Jun dan September ini.

Khalid berkata, kelewatan itu juga menyebabkan kos pembinaannya meningkat daripada kos asal RM482 juta kepada RM550 juta.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Alasan Umno-BN Tidak Bina Jambatan Ke-Tiga Klang Tak Boleh Diterima

 

SHAH ALAM 20 NOV : Jawapan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Satim Diman tentang mengapa Kerajaan Pusat Umno-BN tidak meneruskan projek jambatan ke-tiga Klang adalah alasan dangkal yang tidak boleh diterima.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, Satim berkata Kerajaan Pusat tidak meneruskan projek tersebut yang dijanjikan pada 2008 kerana Umno-BN kalah di Selangor pada pilihanraya umum tahun itu.

ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei berkata, projek tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya di bawah kawalan Kerajaan Pusat yang masih dikuasai Umno-BN.

“Alasan itu sama sekali tidak boleh diterima. Kalau mereka menggunakan alasan bahawa Umno-BN kalah maka mereka tidak bina jambatan, ini menunjukkan mereka keliru di antara keputusan dibuat oleh kerajaan atau pihak politik.

“Dalam isu ini jelas menunjukkan bahawa Umno-BN lebih bersikap politik di mana mereka mengatakan kalau menang baru mereka bina,” katanya kepada TVSelangor di lobi DNS di sini hari ini.

Ketika Satim membahaskan Belanjawan 2013 beliau mendakwa Pakatan Rakyat tidak menunaikan janji di dalam manifesto pilihanraya 2008 (PRU-12).

Shuhaimi mencelah dengan membangkitkan isu jambatan ketiga di Klang yang tidak dibina Umno-BN.

Satim memberi alasan projek tersebut tidak diteruskan kerana Umno-BN kalah di dalam PRU-12 dan kehilangan kuasa di Selangor.

Di luar DNS, Shuhaimi berkata jambatan tersebut tidak disiapkan bahkan rancangan membinanya juga tidak dimasukkan dalam mana-mana rancangan pembangunan persekutuan.

“Ini jelas membuktikan apa yang disebut (Menteri Kerja Raya) Samy Vellu pada masa itu sebagai satu janji politik semata-mata untuk menarik undi menyokong mereka.

“Pada saya mereka lari dari tanggungjawab yang sebenar kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk menyeksa rakyat Selangor,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Simpang Maut Lebuhraya Kuala Lumpur – Rawang Perlukan Jejantas

RAWANG, 25 OKT : Kerajaan diminta membina sebuah jejantas di persimpangan Lebuhraya Kuala Lumpur – Rawang menghala ke Institut Kraf Negara (IKF) di sini ekoran kekerapan kemalangan dan kesesakan yang berlaku di lalu lintas tersebut.

Penduduk di situ mengadu bahawa kemalangan serius yang meragut nyawa berlaku hampir setiap minggu kerana keadaan simpang yang tiada lampu jalan raya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei.

“Kita mencadangkan satu jejantas bagi mengelak kemalangan daripada terus berlaku. Ini kerana pembangunan berterusan menambah bilangan penduduk dan kenderaan.

“Laluan keluar masuk di sini juga kebanyakannya digunakan pelajar terutama dari IKN yang menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama. Ini tentu satu keadaan yang mendesak di sini,” katanya dalam sidang media sewaktu membuat lawatan di kawasa itu hari ini.

Pembangunan pesat di kawasan itu menyebabkan jumlah penduduk mencecah 2,000 orang dan pertambahan kenderaan menyebabkan kesesakan lalulintas berlaku.

Pei Nei berkata pejabatnya akan memohon kepada Kementerian Kerja Raya untuk membina sebuah jejantas.

“Mungkin keadaan jalan raya sedia ada tiada kelengkapan mencukupi untuk membantu satu situasi selamat bagi pengguna di sini. Kita juga terima aduan supaya lampu di jalan raya dipasang dengan lebih banyak demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Kita minta kementerian membuat kajian mengenai perkara ini,” katanya dengan harapan tindakan segera diambil bagi mengatasinya.

Seorang peniaga, Maznah Mat Desa, 53, dari Taman Tun Teja berkata, apabila waktu kemuncak memang sukar untuk melintas di situ kerana ia merupakan laluan utama melibatkan kenderaan yang banyak dan besar seperti bas dan lori.

“Minggu lepas seorang pelajar bermotosikal berlanggar dengan seorang penunggang lain untuk keluar dari simpang ini. Sekarang dikatakan kedua-dua mangsa ditempatkan di hospital kerana cedera.

?Minggu sebelumnya  seorang lelaki melintas jalan terlibat kemalangan dengan satu kenderaan dan meninggal dunia di situ,” katanya yang mendakwa berlaku tiga kemalangan di sepanjang Oktober ini.