Categories
SELANGOR

Hanya Penternak ‘Kritikal’ Dipindah Ke Hulu Selangor

SHAH ALAM 7 NOV : Kerajaan Negeri memaklumkan setakat ini, sudah memindahkan tujuh penternak lembu yang ‘kritikal’ manakala empat lagi belum dipindahkan.

11 penternak itu dikenalpasti layak dipindahkan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sungai Nilam, Hulu Selangor yang berkeluasan kira-kira 100 ekar.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Yaakob Sapari berkata pemindahan itu melibatkan 698 ekor lembu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 563 ekor sudah dipindahkan dan 135 ekor belum dipindahkan.

Penternak kritikal itu melibatkan penternak dari kawasan Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Untuk rekod, 11 penternak itu melibatkan penternak kritikal manakala bagi kategori bermasalah melibatkan 282 penternak.

“Kita memindahkan mana-mana penternak yang kritikal sahaja buat masa ini yang mana sebelum ini mereka menternak di kawasan perumahan, masjid dan kawasan yang menganggu orang awam,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, kira-kira 300 penternak berdepan masalah lokasi kegiatan penternakan.

Rata-rata penternak menghadapi masalah tanah dan lokasi menjalankan penternakan berikutan majoriti daripada mereka menjalankan kegiatan ternakan di tanah rezab kerajaan, agensi lain seperti Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta di tanah milik pemaju.

Penternak mendesak Kerajaan Negeri memberikan tanah untuk mengusahakan aktiviti ternakan seperti dijanjikan kepada mereka.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Yaakob menjelaskan, Kerajaan Negeri akan memindahkan penternak secara berperingkat.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah ada perancangan untuk memindahkan mereka di kawasan lain.

“Mereka harus faham, masalah di Selangor ini ialah tanah terhad. Jadi prosesnya memakan sedikit masa.

“Sekiranya terdapat masalah lain, kita akan memikirkan cara lain iaitu ‘modern farming’. Buat masa ini, hanya di Hulu Selangor. Jika mereka dakwa tanah itu tidak sesuai kerana terdapat gaung, kita boleh ratakannya.

“Lagipun tidak semua penternak itu penternak yang kritikal,” katanya.

Sebelum ini, Yaakob memaklumkan fasa kedua akan memindahkan kira-kira 20 penternak lagi di dua kawasan seluas 120 ekar di Sungai Gumut dan Rasah, Hulu Selangor masih dalam proses berikutan wujud beberapa halangan sebelum ini.

Dana RM400,000 disiapkan untuk membina kedua-dua tempat itu dan kini dalam proses pembangunan infrastruktur.

Leave a Reply

Your email address will not be published.