Categories
SELANGOR

Peserta TKPM Bestari Jaya boleh terus jalankan projek

SHAH ALAM 25 APR: Penggunaan tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) Bestari Jaya yang tamat Jun ini ditarik balik sehingga ke tarikh dimaklumkan kelak.

Exco Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata peserta boleh meneruskan aktiviti pertanian di kawasan itu seperti biasa.

Zaidy“Saya bersama Pegawai Pertanian, Pegawai Veterinar dan Pegawai Perikanan Selangor cuba yang terbaik membantu semua pihak” kata Zaidy ketika melawat kawasan itu dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata Kerajaan Selangor melaburkan RM5.4 juta untuk pembangunan TKPM yang berkeluasan 141.9 hektar dengan 21 peserta sehingga 2013.

Jumlah keuntungan dari TKPM ini sehingga 2013 ialah RM38 juta. Bagaimanapun, kawasan tersebut adalah di bawah tapak projek untuk pembinaan kawasan tadahan air, “Hybrid off River Augmentation System” (HORAS) 3000.

Kerajaan Selangor memaklumkan kepada peserta penggunaan TKPM tamat pada Jun 2015 untuk pembinaan projek HORAS 3000 di atas tapak TKPM.

Zaidy berkata Kerajaan Selangor menyedari keperluan air Selangor semakin meningkat.

Katanya, permintaan air terawat pada masa ini ialah 5000 juta liter sehari (JLS).

Pembinaan HORAS 3000 menambah pengeluaran air terawat sehingga 80 peratus dari permintaan air terawat Selangor pada masa kini.

Sasaran Kerajaan Selangor pada 2017 ialah untuk menyiapkan Langat 2 dengan pada 2020, Selangor perlu mempunyai sumber air tambahan.

“Kerajaan negeri perlu memikirkan mekanisma untuk memenuhi peningkatan permintaan air terawat pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, peserta TKPM Bestari Jaya, Muhd Fadzil Ibrahim, 62, berkata bahawa peserta memerlukan bantuan sara hidup jika dikeluarkan dari TKPM dan meminta pertimbangan Zaidy untuk menguruskan isu TKPM.

Fadzil mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan Zaidy berkenaan isu TKPM Bestari Jaya.

Penternak ayam, Mohd Noor Yahya, 68, memohon agar jangan ditinggalkan peserta TKPM Bestari Jaya begitu sahaja.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yaakob – sasar pendapatan petani RM3,000

 

KUALA LANGAT 12 NOV : Dalam meneruskan pembangunan pertanian di Selangor, Kerajaan Negeri mensasarkan agar golongan petani dapat meraih pendapatan RM 3,000 dan ke atas sebulan daripada hasil penanaman mereka.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Dr Yaakob Sapari berkata ini akan dilakukan melalui kajian bagi memodenkan proses penanaman dan meningkatan hasil tananam.

Yaakob berkata, Kerajaan Negeri juga akan memastikan hanya petani yang akan mendapat tanah pertanian dan bukan pihak yang tidak terlibat dalam industri itu.

Bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Negeri juga berharap petani berusaha memasarkan hasil tanaman mereka tanpa orang tengah bagi menjimatkan kos.

Beliau berkata, pendekatan ini mampu mengurangkan perbelanjaan kos sebanyak RM 500 hingga RM 700 sebulan.

“Pertanian adalah bidang yang mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diberikan tumpuan serius oleh golongan petani,” kata Yaakob dalam sesi lawatan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Sungai Kelambu di sini hari ini.

“Kita juga mahu golongan muda menyertai bidang pertanian terutama lulusan universiti.

“Dengan cara ini pertanian akan dapat dimajukan kerana disertai golongan terpelajar,” katanya lagi.

“Dengan kesungguhan Kerajaan Negeri dan semua pihak terlibat kini Selangor mencatatkan penghasilan kira-kira 60 peratus daripada hasil pertanian negara.?

Categories
SELANGOR

Hanya Penternak ‘Kritikal’ Dipindah Ke Hulu Selangor

SHAH ALAM 7 NOV : Kerajaan Negeri memaklumkan setakat ini, sudah memindahkan tujuh penternak lembu yang ‘kritikal’ manakala empat lagi belum dipindahkan.

11 penternak itu dikenalpasti layak dipindahkan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sungai Nilam, Hulu Selangor yang berkeluasan kira-kira 100 ekar.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Yaakob Sapari berkata pemindahan itu melibatkan 698 ekor lembu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 563 ekor sudah dipindahkan dan 135 ekor belum dipindahkan.

Penternak kritikal itu melibatkan penternak dari kawasan Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Untuk rekod, 11 penternak itu melibatkan penternak kritikal manakala bagi kategori bermasalah melibatkan 282 penternak.

“Kita memindahkan mana-mana penternak yang kritikal sahaja buat masa ini yang mana sebelum ini mereka menternak di kawasan perumahan, masjid dan kawasan yang menganggu orang awam,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, kira-kira 300 penternak berdepan masalah lokasi kegiatan penternakan.

Rata-rata penternak menghadapi masalah tanah dan lokasi menjalankan penternakan berikutan majoriti daripada mereka menjalankan kegiatan ternakan di tanah rezab kerajaan, agensi lain seperti Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta di tanah milik pemaju.

Penternak mendesak Kerajaan Negeri memberikan tanah untuk mengusahakan aktiviti ternakan seperti dijanjikan kepada mereka.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Yaakob menjelaskan, Kerajaan Negeri akan memindahkan penternak secara berperingkat.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah ada perancangan untuk memindahkan mereka di kawasan lain.

“Mereka harus faham, masalah di Selangor ini ialah tanah terhad. Jadi prosesnya memakan sedikit masa.

“Sekiranya terdapat masalah lain, kita akan memikirkan cara lain iaitu ‘modern farming’. Buat masa ini, hanya di Hulu Selangor. Jika mereka dakwa tanah itu tidak sesuai kerana terdapat gaung, kita boleh ratakannya.

“Lagipun tidak semua penternak itu penternak yang kritikal,” katanya.

Sebelum ini, Yaakob memaklumkan fasa kedua akan memindahkan kira-kira 20 penternak lagi di dua kawasan seluas 120 ekar di Sungai Gumut dan Rasah, Hulu Selangor masih dalam proses berikutan wujud beberapa halangan sebelum ini.

Dana RM400,000 disiapkan untuk membina kedua-dua tempat itu dan kini dalam proses pembangunan infrastruktur.