Categories
NASIONAL SELANGOR

Kamera AES di Selangor Tidak Sah, Pas Akan Menolong Sesiapa Yang Disaman

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Pengguna jalanraya Selangor yang disaman oleh kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di Puchong dan Kajang boleh meminta pertolongan dari PAS bagi menyelesaikan saman tersebut.

Ini berikutan keputusan Kerajaan Selangor yang tidak meluluskan pemasangan kamera AES di dalam Selangor kerana meragui tujuan perlaksanaan sistem itu yang didakwa adalah untuk menguntungkan syarikat tertentu berbanding mengurangkan kadar kemalangan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dua buah kamera AES yang telah dipasang di Puchong dan Kajang tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jadi, oleh sebab itu mendirikan struktur itu tidak sah dan kalau saudara kena saman di negeri Selangor, saudara boleh jumpa PAS untuk dibawa ke mahkamah,” kata Abdul Khalid kepada hadirin di ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Flat Sri Labuan, Cheras malam tadi.

Abdul Khalid berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) semalam
memutuskan untuk menangguhkan perlaksanaan Kamera Automatik (AES) di Selangor sehingga Kerajaan Selangor berpuashati dengan cara perlaksanaannya.

“Perkara kedua yang saya beri tahu Jabatan Pengangkutan iaitu cara penswastaan itu tidak menolong rakyat.

“Penswastaan itu bukanlah untuk mengurangkan kemalangan, tetapi cara untuk mendapat bayaran dan mengkayakan orang yang mendapat konsesi dari penswastaan tersebut. Ini mesti kita hentikan,” ujar beliau.

Menurut Abdul Khalid, syarikat konsesi projek AES bakal meraih keuntungan yang besar sekurang-kurangnya sebanyak 17 peratus setahun.

Sementara itu, MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula memberitahu, Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) dan Pemuda PAS menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana-mana pihak yang di saman kamera AES.

Menurutnya PAS akan membuka kaunter bagi mana-mana mangsa AES mendapat khidmat nasihat guaman percuma pada 21 November ini di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

“Sekiranya anda tidak mahu bayar kompaun tetapi mahu bawa ke mahkamah, peguam kami akan berikan khidmat percuma,” kata Mahfuz.

Mahfuz turut memberitahu, dua buah syarikat konsesi yang mengendalikan AES itu bakal memperolehi sebanyak RM 384 juta setahun sekaligus membolehkan mereka mengaut untung seawal tahun kedua beroperasi.

Selain Abdul Khalid dan Mahfuz, program ceramah Jelajah Merdeka Rakyat malam tadi turut menampilkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.