Categories
NASIONAL

Kebijaksanaan Kerajaan Negeri Selamatkan PKNS Tanggung Subsidi Bukit Botak

SHAH ALAM 21 NOV : Kebijaksanaan Kerajaan Negeri membangunkan kembali projek perumahan terbengkalai di Bukit Botak bukan sahaja berjaya membela nasib lebih 700 keluarga malah berjaya mengurangkan jumlah subsidi yang terpaksa ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali ketika perbahasan belanjawan di Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) berkata di bawah pemerintahan Umno-BN sebelum ini, PKNS terpaksa menanggung subsidi sehingga RM140 juta.

Pada tahun 2005, Umno-BN yang mengambilalih projek daripada swasta mengarahkan PKNS terlibat menyelesaikan projek tersebut dengan nilai jualan seunit pada kadar RM42, 000.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak membuat penilaian semasa di samping meningkatkan nilai hartanah perumahan tersebut sebanyak 52 peratus.

Hasilnya jumlah subsidi ditanggnung PKNS susut kepada RM80 juta bagi 1,422 unit rumah.

Projek Perumahan Bukit Botak yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember nanti dijual dengan kadar RM 99, 000 seunit walaupun nilai pasarannya adalah RM250, 000.

“Dengan skim baru ini, PKNS tidak perlu menanggung jumlah subsidi terlalu tinggi namun masih juga mampu menyiapkan projek perumahan tersebut.

“Pembeli juga sedar mereka mampu memperoleh keuntungan berganda andai rumah ini dijual semula,” jelas Azmin.

Pada April lalu, seramai 707 peneroka bandar yang dijanjikan tanah di dalam skim penempatan semula Bukit Botak oleh Kerajaan Selangor Umno-BN hampir 30 tahun lalu mengambil bahagian dalam cabutan untuk menentukan nombor rumah mereka.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.