Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bina Dua Masjid Setiap Daerah Setiap Tahun

SHAH ALAM 23 NOV : Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat pembangunan umat Islam dengan memperuntukkan dana pembinaan dua buah masjid di setiap daerah pada setiap tahun.

Menjawab di Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) pagi tadi, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembinaan masjid-masjid tersebut bagaimanapun ditentukan oleh pihak pejabat daerah.

“Ia ditentukan berdasarkan keperluan dan keutamaan dan bukan berdasarkan kaedah melobi seperti amalan dahulu.

“Jadi, sekurang-kurangnya sudah 18 buah masjid dibina sehingga kini,” jelas beliau yang juga Adun Ijok.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, terdapat satu kelemahan perlaksanaan pembinaan masjid-masjid tersebut iaitu kelewatan memanggil tender.

“Kelulusan kita sudah bagi namun kelewatan ini menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan segera.

“Kita akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan dan mengeluarkan arahan tertentu mengatasi masalah ini,” ujarnya lagi menjawab soalan lisan daripada Adun Morib, Hasiman Sidom.

Mengulas kelewatan pembinaan Masjid Kampung Sungai Buaya, Abdul Khalid berkata jawapan berbeza diperolehi daripada pihak-pihak terbabit.

“Antaranya saya dimaklumkan pembinaan tersebut tidak termasuk dalam perancangan ke-10.

“Sebaliknya, ia akan dimasukkan ke dalam perancangan ke-11,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.