Categories
NASIONAL SELANGOR

PIBG SAR Mohon Dibina Lebih Banyak Sekolah Agama

SHAH ALAM, 30 NOV : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Rakyat (SAR) memohon Kerajaan Negeri supaya membina lebih banyak sekolah berteraskan pendidikan Islam untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.

Wakilnya, Rizuan Rahmat berkata, selain memfokuskan kepada pembangunan negeri, pihaknya juga mahukan sistem pendidikan diutamakan demi masa depan pelajar Melayu di negeri ini.

“Kami mahu Kerajaan Negeri untuk proaktif mengarus perdanakan sistem pendidikan Islam bagi anak Melayu dengan mewujudkan sebuah yayasan yang memfokuskan pembangunan pendidikan Islam terancang,” katanya semasa menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri di Dewan Annex, hari ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik usul berkenaan dan berusaha untuk memenuhi keperluan tersebut.

Bagaimanapun, ia akan mengambil sedikit masa ekoran Kerajaan Negeri tidak mempunyai belanjawan besar seperti Kerajaan Pusat.

“Kita wujudkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor tahun lalu yang berdafrtar di bawah Kementerian Kewangan. Kita memerlukan dana yang secukupnya untuk membina sekolah berasaskan agama. Saya akan bawa usul ini kepada Kerajaan Negeri atas desakan dan permintaan oleh semua ibu bapa yang mahu lebih banyak sekolah dibina,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.