Categories
NASIONAL

Rafizi: Nazri Perlu Bercuti Hingga Selesai Di Siasat SPRM

PETALING JAYA, 2 NOV – Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz bercuti buat sementara waktu dari jawatannya sementara menunggu sisatan SPRM berhubung dakwaan keluarganya mendapat habuan dari ahli perniagaan, Michael Chia.

Saranan ini dibuat Rafizi ekoran Nazri Aziz lantang mengkritik Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang pernah dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) dan menyaksikan penglibatan keluarganya.

“Mengambil kira pendekatan yang telahpun diambil oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak bila berdepan dengan seorang menteri yang dituduh di dalam rasuah yang melibatkan keluarga beliau seperti mana kes NFC dan Datuk Seri Shahrizat Jalil, maka wajarlah Datuk Seri Nazri Aziz bercuti dari jawatan beliau sementara menunggu siasatan dijalankan untuk membersihkan nama beliau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Rafizi juga turut merujuk Akta SPRM 2009 Bahagian IV, (Kesalahan dan Penalti) kesalahan menerima rasuah yang menakrifkan pelakuan rasuah mengikut Seksyen 16(a) dan 16(B).

Seksyen 16(a) menetapkan bahawa perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun suapan itu diterima oleh orang lain dan manfaatnya dinikmati orang lain.

Seksyen 16(B) menguatkan lagi dakwaan yang didedahkan PKR dengan menetapkan bahawa perlakuan rasuah dikira berlaku walaupun tiada suapan sebenar yang diterima.

Kenyataan Rafizi tersebut ekoran pendedahan beliau berhubung dakwaan penggunaan kereta mewah Hummer dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Michael Chia oleh Nedim Nazri Aziz dan keluarganya.

Ahli perniagaan Michael Chia telah didakwa dikaitkan denganĀ  dengan pendedahan mengenai wang berjumlah RM40 juta yang dipercayai mempunyai kaitan ‘rapat’ dan ‘mempunyai hubungan baik’dengan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Umno Sabah.

Menurut Rafizi lagi, beliau menyambut baik reaksi pantas yang dibuat Nazri meskipun banyak menghamburkan kata nista terhadapnya yang bersifat peribadi.

Beliau yang sebelum ini seorang akauntan berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan peribadi dengan sesiapa sebaliknya memberikan fokus kepada persoalan rasuah dan salahguna kuasa yang mungkin berlaku.

Sehubungan itu, PKR akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegaha Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin hadapan pada jam 3 petang.

Sebelum ini, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang turut menggesa kerajaan agar sebuah suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penyeludupan dana asing oleh Umno, terutamanya berhubung “sumbangan politik” RM40 juta yang juga dikaitkan dengan Michael Chia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.