Categories
SELANGOR

Rizab PBT Catat Peningkatan Dalam Tempoh Lima Tahun

SHAH ALAM, 30 NOV : Rizab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari tahun 2007 hingga 2011 iaitu daipada RM83.25 juta kepada RM142.50 juta.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, PBT sentiasa berusaha memperbaiki serta memperkukuhkan kedudukan rizab masing-masing dari tahun ke tahun.

Justeru, pelbagai langkah proaktif diimplementasikan pihak PBT untuk memastikan rizab mereka terus stabil dan sentiasa bertambah.

Antaranya, mempertingkatkan kutipan cukai taksiran dengan menguatkuasakan tindakan di bawah Seksyen 148 Akta 171.

“PBT juga menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan pelaksanaan kutipan dan sasaran hasil dijalankan. Program insentif kepada kakitangan turut diberikan sekiranya mencapai sasaran kutipan hasil yang ditetapkan melalui Jawatankuasa Teras Hasil.

“Selain itu, PBT turut melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi meningkatkan prestasi kutipan hasil. Kaedah penjimatan, kawalan bajet dan kawalan kos dipraktikkan dari masa ke masa untuk menggalakkan jabatan membuat perbelanjaan berdasarkan keperluan dan keutamaan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung kedudukan rizab PBT di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi.

Tambahnya, pihak PBT juga membuat perbandingan faedah yang telah ditawarkan pihak bank bagi memastikan pelaburan simpanan tetap dibuat ke dalam bank yang menawarkan faedah kompetetitif.

“Semua PBT turut berusaha mencari hasil-hasil baru yang akan membantu menjana pendapatan mereka secara konsisten di masa akan datang,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.