Categories
SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Penerima Saman AES Di Selangor

SHAH ALAM 14 NOV: Kerajaan Selangor sedia membantu pengguna jalanraya yang disaman oleh kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dipasang di Selangor.

Walaubagaimanapun, penerima saman hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada kaunter guaman yang dibuka di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur.

Demikian kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditanya pemberita mengenai tindakan Kerajaan Negeri bagi membantu penerima saman AES.

“Kalau diperlukan bantuan, Kerajaan Negeri sedia membantu tetapi mestilah mengikut tatakelola undang-undang,” katanya.

Selangor telah memutuskan untuk menangguhkan perlaksanaan sistem AES kerana tidak yakin ia akan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri berpendapat pemasangan AES oleh Kerajaan Pusat adalah untuk menguntungkan syarikat yang mendapat kontrak untuk memasang sistem itu.

Sebelum ini, MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) dan Pemuda Pas menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana-mana pihak yang disaman kamera AES.

Abdul Khalid juga sebelum ini berkata, dua buah kamera AES yang dipasang di Puchong dan Kajang tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya lagi, syarikat konsesi projek AES bakal meraih keuntungan yang besar sekurang-kurangnya sebanyak 17 peratus setahun daripada jumlah saman yang dikutip.

Leave a Reply

Your email address will not be published.