Categories
SELANGOR

Selangor Terokai Penggunaan storm water Tingkatkan Sumber Air

SHAH ALAM, 19 NOV : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 100 juta bagi sistem tadahan ?Storm Water? atau air hujan di hiliran sungai sebagai sumber air bagi menggantikan projek mega pemindahan air dari Pahang.

Penadahan air hujan diharapkan dapat menampung air terawat yang hilang (NRW) sebanyak lebih 9,000 liter setiap hari akibat daripada sistem pengedaran air yang lemah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sistem storm water melibatkan beberapa komponen, antaranya penadahan air semasa hujan lebat di mana air yang mengalir ke sungai akan dipamkan dari muka sauk yang akan dibina di tepian sungai.

Selain itu, ujarnya, penakungan air juga dibuat sama ada melalui bekas-bekas lombong sedia ada atau kolam takungan yang dibina.

“Rawatan air boleh dibuat menggunakan teknik penurasan tebing sungai (River Bank Filtrations-RBF) dan seterusnya menggunapakai kaedah rawatan air konvensional bergantung pada kualiti air yang diperoleh daripada kolam takungan.

“Agihan air pula boleh dibuat menerusi sistem agihan sedia ada,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2013 di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk menerokai sistem itu di hiliran sungai terutama seperti Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih.

Katanya lagi, Kajian National Water Resources Study (NWRS) mendapati terdapat kuantiti air larian yang sangat besar iaitu 9,168 juta liter sehari dan perlu dimanfaatkan untuk dijadikan sumber bekalan air terawat.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri akan menunjukkan kepada Kerajaan Pusat bahawa Negeri Selangor mempunyai potensi untuk memanfaatkan penggunaan storm water di hiliran sungai sebagai sumber air terawat tanpa membiarkan ia terbuang begitu sahaja.

“Sebagai contoh, pada ketika musim hujan, Sungai Selangor mempunyai air hiliran hingga mencapai 21,000 juta liter sehari sedangkan penggunaan bagi seluruh Lembah Klang, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya pada masa ini hanyalah 7,832 juta liter sehari,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.