Categories
NASIONAL SELANGOR

Wang Rizab Negeri Hanya Untuk Projek Khas Bukan Biayai Pengurusan

SHAH ALAM,19 NOV: Kerajaan Negeri hanya membelanjakan wang rizab untuk membiayai projek khas sahaja dan bukannya untuk menampung perbelanjaan mengurus, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Wang rizab juga tidak boleh dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan pengurusan dan perbelanjaan lazim lain oleh Kerajaan Negeri kerana ia menggambarkan pengurusan kewangan yang tidak cekap.

Pembentangkan belanjawan defisit untuk menampung perbelanjaan pengurusan juga mencerminkan kegagalan pentadbiran mengurus kewangan dengan cekap dan sekaligus menunjukkan kegagalan mengawal perbelanjaan secara berhemah.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberikan penjelasan berhubung tindakan Kerajaan Negeri menggunakan wang rizab negeri untuk membiayai empat buah projek yang menelan belanja RM500 juta.

“Projek yang kita buat itu, ia berasingan supaya ia lebih jelas penggunaannya.

“Rakyat tak nak rizab digunakan untuk menampung perbelanjaan pengurusan.

“Kalau berlaku macam itu, nanti rakyat fikir kerajaan boleh berbelanja berlebih-lebih, jadi dengan adanya pengasingan itu kita tak boleh berbelanja berlebih-lebih,” kata Abdul Khalid dalam sidang media di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor.

Dalam hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor ke 12 hari ini, Abdul Khalid membentangkan Belanjawan 2013 yang bertema ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’.

Ketika membentangkan belanjawan, Abdul Khalid mengumumkan perlaksanaan pembinaan jambatan ketiga Klang yang menelan belanja RM300 juta, Storm Water (RM100 juta), membaiki dan menaiktaraf sistem saliran (RM50 juta) dan membina rumah mampu milik pasang siap (RM50 juta).

Bagaimanapun projek-projek tersebut tidak termasuk dalam Belanjawan 2013, sebaliknya menggunakan wang rizab Kerajaan Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.