Categories
SELANGOR

Yaakob: Kerajaan Negeri Beri Pelbagai Inisiatif Bantu Nelayan

SHAH ALAM 20 NOV: Kerajaan Selangor telah memberikan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan nelayan negeri ini seperti bot dan peralatan menangkap ikan.

Exco Pertanian dan Pengurusan Sumber Alam, Yaakob Sapari berkata, pada tahun 2012 Kerajaan Negeri memberikan peruntukan kepada Jabatan Perikanan bernilai RM 300,000 untuk membantu nelayan di Selangor.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah sampan ‘fibreglass’, engin serta jaring untuk menangkap ikan.

“Melalui peruntukan dana nelayan oleh Kerajaan Negeri ini yang memberikan pelbagai bantuan peralatan dan alat tangkapan ikan diharap memastikan hasil tangkapan dapat ditingkatkan,” katanya yang merupakan Adun Kota Anggerik.

Yaakob berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Shafie Abu Bakar (Pas-Bangi) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sehingga kini, terdapat 7,655 orang nelayan di Selangor di dalam enam daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Purata pendapatan mereka sekitar RM 1,000 hingga RM 1,500.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyediakan program bantuan peralatan menangkap ikan kepada nelayan di negeri ini.

Dalam pada itu, Yaakob berkata, program bantuan menaiktaraf jeti pendaratan ikan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.