Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Cemerlang Dalam Ujian Kafa

SHAH ALAM 14 DIS : Selangor mencatatkan 100 peratus pelajar lulus Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012 sekaligus muncul negeri terbaik dengan mata 1.55 mata, diikuti Melaka dan Terenggganu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata secara keseluruhannya, daerah Kuala Selangor muncul daerah terbaik dengan Gred Purata National (GPN) 1.36.

Ini diikuti Sepang dengan GPN 1.46 dan daerah Hulu Selangor dengan GPN 1.48.

Katanya, seramai 15,933 pelajar menduduki ujian yang bermula Oktober lalu itu.

Daripada jumlah itu, seramai 8,624 calon berjaya memperolehi pangkat A berbanding 6,617 orang pada 2011.

Bagi pencapaian agregat 8A adalah sebanyak 2,613 orang berbanding 1,185 pada 2011 yang mana peratusan tertinggi daerah yang teramai calon mendapat 8A ialah Kuala Selangor iaitu 34.05 peratus, Kuala Langat 23.23 peratus dan Klang 22.54 peratus.

Mengikut mata pelajaran, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatat kadar lulus yang tertinggi iaitu 100 peratus dan Al Quran pula sebanyak 98.98 peratus.

Halimah menambah peningkatan pencapaian pelajar dalam peperiksaan itu membuktikan keberkesanan program pendidikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri selama ini.

Jelasnya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sentiasa ingin melihat sistem pendidikan Islam di Selangor mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam apa jua bidang.

Beliau berkata selain misi menjadikan Selangor sebagai hab pendidikan, sistem pendidikan Islam di Selangor diharapkan dapat menjadi contoh terbaik.

“Kejayaan ini diharapkan akan berterusan pada tahun seterusnya dan Kerajaan Negeri akan merancang inisiatif lain untuk pendidikan di negeri Selangor.

“Teras utama Kerajaan Negeri ialah untuk memacu permodenan insan,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, tiga belas buah negeri mencatatkan keputusan lulus seratus peratus dalam peperiksaan UPKK 2012 berbanding 12 buah negeri pada tahun lepas.

Hanya Wilayah Persekutuan mencapai keputusan 99 peratus lulus.

Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011. Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published.