Wan Azizah : Jadikan Kes Kematian Adik William Iktibar

wan-azizah-wan-ismail1-dec4

KUALA LUMPUR 28 JAN: Masyarakat negara ini disaran menjadikan kes kematian adik Wiliam Yau Zhen Zhon sebagai iktibar agar kejadian sedemikian tidak berulang

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat setempat, ibu bapa dan penjaga haruslah lebih berwaspada serta sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak dalam keadaan selamat.

Ia terutamanya di tempat-tempat yang sesak, taman permainan, pusat membeli belah dan sebagainya.

Wan Azizah berkata demikian merujuk tragedi menyayat hati menimpa Wiliam,6, yang ditemui mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Januari lalu selepas seminggu hilang dari rumahnya di Putra Heights, Subang.

“Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa dengan apa yang terjadi dalam masyarakat kita,” kata Wan Azizah dalam kenyataan medianya.

Tambahnya, negara pernah bersedih dengan berita kematian Nurin Jazlin (2007), Sharlini (2008) dan terbaru, kematian ngeri Dirang yang dibakar di Johor baru-baru ini.

“Mengenang kepada tiga peristiwa ini, sebak dan sayu pasti menyelubungi kita semua. Sikap prihatin sesama kita adalah tanggungjawab bersama,? katanya.

Ujar Wan Azizah, polis digesa memberi keutamaan kepada agenda keselamatan terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“Keganasan rumah tangga, aktiviti pemerdagangan manusia, penculikan dan pembunuhan adalah kegiatan yang perlu diperhatikan oleh pihak keselamatan dengan serius dan tekad untuk membanteras.

“Marilah kita bersama-sama berpegang tangan, berganding bahu untuk terlibat secara total dalam pembangunan masyarakat khususnya dalam melindungi kanak-kanak,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.