Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat Tidak Berminat Selesai Masalah Penstrukturan Air

azmizam luar pc 01

SHAH ALAM 20 FEB : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor memuji langkah berani keputusan Kerajaan Negeri mengambil langkah seterusnya setelah tempoh tawaran 14 hari pengambilalihan industri air tamat.

Ketuanya, Azmizam Zaman Huri berkata, sikap Kerajaan Pusat yang mendiamkan diri terhadap surat tawaran harga mengambilalih empat syarikat konsensi yang mengurus perkhidmatan air sebagai sikap tidak berminat mereka menyelesaikan masalah penstrukturan air.

“Seharusnya Kerajaan Pusat melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengambil langkah yang lebih tepat dalam isu ini.

“Dan tidak menjadikan air sebagai politik murahan untuk memenangi semula Selangor,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Ujar Azmizam beliau, menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang tidak memiliki kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tinggi serta tidak munasabah.

“Tohmahan bahawa Kerajaan Negeri memiliki kuasa penuh ke atas (Syarikat Bekalan Air Selangor) Syabas adalah dangkal kerana Kerajaan Negeri hanya mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat itu.

“Manakala pemegang saham terbesar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan diperbadankan pemegang saham emas, dan ini memberi mereka kuasa untuk membuat keputusan sebagaimana termaktub di dalam Akta Industri Perkhidmatan Air,” katanya.

Tegas beliau, kepentingan rakyat perlulah berada di hadapan dalam apa juga isu pertindihan yang dialami antara negeri dan persekutuan di mana jelas Kerajaan Negeri dilihat lebih ke hadapan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“AMK Selangor berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Selangor atas apa juga dasar baik yang dirangka untuk rakyat.

“Dan akan turun dalam siri jelajah penerangan isu air yang dimanipulasi sekian lama oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.