Categories
SELANGOR

Naik Taraf Loji Air Selangor Akan Tambah Kemampuan Bekal Air Bersih

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 03

KUALA SELANGOR, 24 MAC : Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 yang dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac ini akan menambah bekalan air bersih sebanyak 190 juta liter sehari (JLH) diagihkan kepada pengguna di negeri ini.

Peningkatan kapasiti pengeluaran ini akan menjadikan kawasan Klang seperti Meru, Kapar termasuk Kapar Indah dijangka tidak lagi mengalami gangguan bekalan air.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, projek yang dimulakan pada 1 Mac 2012 dengan kos RM50 juta itu dilaksanakan berikutan sebelum ini loji berkenaan tidak mengeluarkan air pada kadar yang optimum.

“Loji ini sepatutnya mampu mengeluarkan 950 JLH sehari tetapi hanya mengeluarkan 760 JLH sekaligus menyebabkan kekurangan bekalan air.

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 01“Sekiranya terdapat masalah tidak cukup air dalam waktu terdekat ini, ianya jelas menunjukkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak kompeten dalam melaksanakan kerja-kerja pengagihan air kepada pengguna,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian petang semalam selepas menerima taklimat dan membuat lawatan di tapak Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 di sini.

Abdul Khalid juga berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil beberapa langkah lain bagi meningkatkan kapasiti sumber air mentah dan air terawat bagi menampung permintaan pengguna di Selangor.

Antaranya dengan menjalankan kajian untuk meningkatkan sumber air mentah di Sungai Selangor dengan membangunkan ‘Hybrid Off River Augmentation System’ (HORAS) dan kajian keupayaan kapasiti air bawah tanah melalui kaedah ‘River Bank Filteration’.

Kerajaan Negeri juga menjalankan projek menambah baik sistem pam air bersih ke Kolam Imbangan Bukit Mayong bagi tujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran rumah pam terbabit.

Manakala Loji Sungai Damansara yang terletak di Shah Alam juga akan diaktifkan semula.

Abdul Khalid turut menambah, Kerajaan Negeri juga memandang serius 33 peratus kadar ‘Air Tidak Berhasil’ (NRW) yang ada sekarang dengan menjalankan kajian bagaimana kadar tersebut dapat dikurangkan.

“Jika NRW dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus lagi dari NRW itu kita dapat tambah bekalan air sebanyak 400 JLH sehari kepada pengguna,” ujar Abdul Khalid lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.