Categories
SELANGOR

Pengerusi JKKK Nafi Balai Raya Parit Baru Tidak Diselenggara

Balai Raya Parit Baru 01

SHAH ALAM, 7 MAC : Dakwaan kononnya balai raya Parit Baru, Sabak Bernam dibiarkan tanpa penyelenggaraan dan tidak boleh digunakan lagi adalah tidak benar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Baru, Mohd Nor Arijin bahagian bangunan yang dikatakan ‘balai raya’ berkenaan adalah bahagian dapur dan kini tidak lagi digunakan kerana berada dalam keadaan usang.

Jelasnya, bangunan asal balai raya berkenaan berada dalam keadaan baik dan masih digunakan penduduk setempat untuk aktiviti kemasyarakatan.

“Balai raya ini kami mula kemas dan mengadakan gotong royong sejak bulan Jun 2012. Kali terakhir kami bergotong-royong pada 16 Januari lalu.

“Pihak yang mengatakan balai raya tersebut terbiar dan tidak diruskan merupakan pembohongan. Bahagian dapur tersebut kami kemas, tikar getah lama kami buang.

“Dengan peruntukan yang kita dapat, pintu, tingkap dan beberapa kerosakan pada bangunan asal dewan ini akan dibaik pulih termasuk membeli 50 buah bangu baru,” tanya ketika dihubungi TV Selangor.

Menurutnya lagi, Pejabat Daerah Sabak Bernam meluluskan peruntukkan berjumlah RM10,000 untuk membaik pulih bangunan balai raya.

Dengan peruntukan yang kecil ini, pihak JKKK tidak mampu untuk membaik pulih bahagian dapur berkenaan.

Tambah Mohd Nor Lagi, kenyataan yang mengatakan balai raya berkenaan tidak lagi digunakan ekoran ketiadaan kunci merupakan satu lagi bentuk pembohongan kerana Ketua Wanita Umno Parit Baru turut memiliki kunci balai raya berkenaan.

Ujarnya lagi, wanita Umno turut menggunakan balai raya berkenaan untuk aktiviti pengajian ilmu agama.

Laporan akhbar Sinar Harian hari ini turut memetik kenyataan Pengerusi JKKKP Parit Baru, Musanid Mationo yang menyatakan balai raya berkenaan tidak diselenggara dengan sempurna selain ibu bapa pelajar tadika Kemas terpaksa membersihkan dan menebas rumput di kawasan sekeliling.

Leave a Reply

Your email address will not be published.