Categories
SELANGOR

Elaun Ketua JKKK RM900 bukti kerajaan prihatin

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 NOV: Kenaikan elaun RM100 kepada Ketua kampung mulai Januari tahun depan disambut penuh kesyukuran.

Biarpun penambahan itu dilihat masih agak kurang berbanding beban tugas dan kos sara hidup yang tinggi namun mereka beranggapan Kerajaan Negeri prihatin dengan nasib mereka.

Bajet MS12“Kita bersyukur, walaupun belum memadai tetapi setidak-tidaknya ada kenaikan. RM800 ke RM900 masih di bawah paras kemiskinan.

“Kerajaan Negeri menunjukkan penghargaan kepada kita,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Budiman, Muhammad Noh Sarjo.

Katanya, kenaikan kali ini adalah yang kedua apabila kali pertama pada 2009 daripada RM450 ke RM800.

Pengerusi JKKK Kampung Batu 13, Puchong, Ruslan Mat @ Mohd Shah, berkata kenaikan elaun ini usaha Kerajaan Negeri membantu dan menambah baik perkhidmatan golongan terbabit.

“Memang elaun sedia ada kurang tetapi dengan pemberian ini ia semakin bertambah dan baik.

“Tugas berat juga maka apa dibuat Kerajaan Negeri tepat dan diharap pembelaan lebih pada masa depan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2015 di Dewan Negeri Selangor (DNS), berkata Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan elaun Pengerusi JKKK bagi mengiktiraf peranan mereka dalam memaju serta menjaga keselamatan kampung.

EZY

Categories
SELANGOR

Ketua Kampung, JKKK patut kerap turun padang tinjau masalah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 NOV: Ketua kampung serta seluruh anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa untuk mencontohi cara kerja Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata ketua kampung khususnya perlu turun padang dan meninjau permasalahan kawasan mereka.

KampungKatanya, dengan itu setiap masalah dijangka dapat diselesaikan dengan kadar lebih cepat.

“Menteri Besar kita yang baru sudah meletakkan satu tanda aras yang tinggi iaitu beliau mahu 80 peratus waktu bekerja di lapangan, 20 peratus di pejabat.

“Standard ini bukan sahaja perlu diikuti kami barisan Exco, wakil rakyat dan ahli majlis tetapi juga ketua-ketua kampung dan JKKK semua,” katanya di hadapan lebih 200 hadirin.

Beliau berucap demikian dalam Sesi Taklimat Khas GST dan Majlis Makan Malam bersama JKKK kampung-kampung baru, bagan dan tersusun di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Exco Negeri, Dr Daroyah Ali dan Zaidy Abdul Talib dan ahli-ahli dewan undangan negeri antaranya Lau Weng San (Kampung Tunku)dan Tiew Way Keng (Teratai) serta ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pada masa sama, Ean Yong mahu setiap ketua kampung menetapkan visi dan misi mereka dalam merangka pembangunan kawasan mereka.

“Biasanya mereka menganggap menjadi ketua kampung adalah satu tugas yang mudah, jadi mereka sukar terima cabaran ini.

“Tetapi mereka perlu sedar bahawa mereka juga adalah barisan hadapan kerajaan negeri.

“Setiap mereka mencerminkan kerjaan negeri yang ada ini,” katanya dalam sidang media pula.

Categories
NASIONAL

SAMM: “Jika PPS ‘haram’ bagaimana dengan JKKK?”

SHAH ALAM 31 OGOS: SAMM Pulau Pinang mengutuk tindakan Polis membuat tangkapan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada sambutan hari Kemerdekaan selepas aktiviti dijalankan.

Penyelaras SAMM Pulau Pinang, Aidil Fitri Ibrahim berkata SAMM  mempertahankan ‎PPS‬ yang di tubuh di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bertaraf agensi negeri.

PPSKatanya, penahanan mereka membuktikan sekarang ini polis tidak peka kepada mereka yang banyak membantu dalam semua hal ehwal keselamatan di kampung-kampung serta taman perumahan dalam membantu Polis mengawal jenayah serta kebajikan penduduk setempat.

“Bahkan untuk pengetahuan Datuk Seri Ketua Polis Negara, Jawatankuasa Keselamatan Kebajikan Kampung (JKKK) juga pertubuhan yang tidak berdaftar, adakah mereka juga pertubuhan haram?,” soal Aidil dalam kenyataan media.

Katanya, SAMM Pulau Pinang mendesak supaya polis membebaskan mereka segera tanpa syarat.

PPSHari ini, lebih 200 PPS ditahan sepasukan anggota polis ketika sedang menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang Kota, pagi ini.

Mereka ditahan kira-kira jam 10.15 pagi, berdekatan bulatan di Jalan Lebuh Pantai sebelum melintasi pentas utama.

EZY

Categories
SELANGOR

Rizab RM100 juta untuk pembangunan desa, belia & usahawan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 5 DIS : Kerajaan Selangor akan membelanjakan RM100 juta wang rizab yang dimiliki bagi tujuan pembangunan desa, belia dan usahawan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada projek yang dianggap mempunyai pontesi memberi keuntungan kepada masyarakat desa di Selangor.

“RM100 juta ini adalah peruntukan pembangunan desa yang digunakan daripada duit rizab negeri seperti yang kita umumkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) iaitu RM50 juta untuk pembangunan desa, RM50 juta lagi untuk pembangunan belia dan usahawan.

Khalid Ibrahim“Bagi mencapai matlamat itu, kita berjumpa dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan mendengar cadangan mereka supaya kaedah penggunaan wang peruntukan itu dapat dicapai untuk pembangunan kampung dan usahawan belia.

“Peruntukan itu diberi mengikut cadangan yang dibuat JKKK sendiri dan kini mereka berlumba-lumba untuk mencadangkan projek. Setiap projek yang mempunyai potensi akan diluluskan,” katanya kepada Selangor Kini selepas bertemu Pengerusi JKKK bagi Hulu Selangor dan Sabak Bernam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Sebelum itu, lebih 70 JKKK menghadiri Bengkel Kenali Kampungku peringkat Sabak Bernam dan Hulu Selangor bagi mengadakan perbincangan serta mendraf kertas kerja masing-masing sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan projek.

Dalam bengkel sehari itu, Abdul Khalid juga sempat mendengar beberapa cadangan projek daripada JKKK beberapa kampung yang hadir dan meminta cadangan yang dikemukakan peserta harus berkemampuan memberi pulangan setimpal kepada masyarakat kampung masing-masing, yang mana perkembangan projek itu akan dibentangkan dalam sidang DNS akan datang.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dr Daroyah Beri Tumpuan Bangun Infrastruktur Di Sementa

Dr Daroyah Beri Tumpuan Bangun Infrastruktur 01

SEMENTA 20 MEI : Pembangunan infrastruktur di Sementa akan diberi perhatian serius dengan beberapa cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan.

Menurut ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi aspek ini akan diberi perhatian bagi membangunkan kawasan ini.

“Saya juga ingin melihat dalam masa lima tahun Sementa dari segi landskapnya cantik. Sebelum ini saya Ahli Majlis MBSA dan menganggotai Jawatankuasa Landskap, saya rasa punya pengalaman bagaimana nak membangunkan dan tambah baikkan dari segi landskap,” ujarnya sambil menjelaskan dua cawangan pusat aduan akan dibuka di Sementa bagi memudahkan orang ramai mendapat khidmatnya.

Selain itu, sekolah agama, pembinaan masjid, jalanraya, longkang dan yang lain bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan.

“Demi kepentingan anak-anak, semoga sebuah sekolah menengah agama dapat dibina di DUN Sementa,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sementa, Mat Ellah Mat Nor berkata kejayaan Pakatan Rakyat merampas DUN Sementa daripada Umno-BN akan membawa perubahan besar kepada kawasan itu.

“Diharapkan banyak lagi perubahan akan berlaku dengan Kampung Sementa sendiri yang masjidnya perlu dibangunkan semula selain sekolah agama yang sudah lama,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Sungai Serdang, Hassan Basir pula berharap beberapa masalah asas di kampung tersebut akan mendapat perhatian supaya ia di atasi segera.

“Selama ini banyak pembangunan yang tertangguh di DUN Sementa kerana masalah wakil rakyat (Umno-BN) dengan pusat khidmat yang sering bertukar.

“Di Kampung Sungai Serdang, masalah seperti sekolah agama, masjid dan lain-lain tetapi saya harap dipantau masalah ban(empangan) dengan membaikinya segera supaya ianya tidak pecah daripada menampung air,” katanya.

Dr Daroyah berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengatasi masalah perkara berbangkit seperti pengurusan sampah.

Categories
SELANGOR

Pengerusi JKKK Nafi Balai Raya Parit Baru Tidak Diselenggara

Balai Raya Parit Baru 01

SHAH ALAM, 7 MAC : Dakwaan kononnya balai raya Parit Baru, Sabak Bernam dibiarkan tanpa penyelenggaraan dan tidak boleh digunakan lagi adalah tidak benar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Baru, Mohd Nor Arijin bahagian bangunan yang dikatakan ‘balai raya’ berkenaan adalah bahagian dapur dan kini tidak lagi digunakan kerana berada dalam keadaan usang.

Jelasnya, bangunan asal balai raya berkenaan berada dalam keadaan baik dan masih digunakan penduduk setempat untuk aktiviti kemasyarakatan.

“Balai raya ini kami mula kemas dan mengadakan gotong royong sejak bulan Jun 2012. Kali terakhir kami bergotong-royong pada 16 Januari lalu.

“Pihak yang mengatakan balai raya tersebut terbiar dan tidak diruskan merupakan pembohongan. Bahagian dapur tersebut kami kemas, tikar getah lama kami buang.

“Dengan peruntukan yang kita dapat, pintu, tingkap dan beberapa kerosakan pada bangunan asal dewan ini akan dibaik pulih termasuk membeli 50 buah bangu baru,” tanya ketika dihubungi TV Selangor.

Menurutnya lagi, Pejabat Daerah Sabak Bernam meluluskan peruntukkan berjumlah RM10,000 untuk membaik pulih bangunan balai raya.

Dengan peruntukan yang kecil ini, pihak JKKK tidak mampu untuk membaik pulih bahagian dapur berkenaan.

Tambah Mohd Nor Lagi, kenyataan yang mengatakan balai raya berkenaan tidak lagi digunakan ekoran ketiadaan kunci merupakan satu lagi bentuk pembohongan kerana Ketua Wanita Umno Parit Baru turut memiliki kunci balai raya berkenaan.

Ujarnya lagi, wanita Umno turut menggunakan balai raya berkenaan untuk aktiviti pengajian ilmu agama.

Laporan akhbar Sinar Harian hari ini turut memetik kenyataan Pengerusi JKKKP Parit Baru, Musanid Mationo yang menyatakan balai raya berkenaan tidak diselenggara dengan sempurna selain ibu bapa pelajar tadika Kemas terpaksa membersihkan dan menebas rumput di kawasan sekeliling.

Categories
SELANGOR

Edar Bubur Lambuk Kepada Mangsa Banjir

SHAH ALAM 15 NOV : Sempena Maal Hijrah 1434H, Pusat Khidmat Penyelaras Dun Dengkil mengedarkan bubur lambuk kepada 1,200 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Bukit Changgang dan Labuan Dagang, sejak Rabu lalu.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Unit Amal Pas dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan terbabit.

Penyelaras Dun Dengkil, Borhan Aman Shah berkata 1,200 bungkus bubur lambuk itu diedar sempena sambutan Maal Hijrah.

Borhan juga mengambil peluang beramah mesra dan meninjau keadaan mangsa banjir di daerah itu.

“Walaupun bubur lambuk begitu sinonim dengan Ramadan, tetapi tidak salah sekiranya diedarkan pada sambutan Maal Hijrah kali ini.

“Kita juga dapat meninjau keadaan mereka di pusat ini dan seterusnya dapat membantu sekiranya mereka memerlukan pertolongan.

“Sumbangan kecil ini diharap dapat menceriakan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir ini,” katanya ketika dihubungi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kemajuan IKS Gombak Menjadi Inspirasi Kuala Langat

GOMBAK, 9 NOV : Lawatan sekumpulan ketua kampung daerah Kuala Langat ke beberapa kampung di sini untuk melihat perindustrian kecil dan serderhana (IKS) menjadi pencetus idea untuk membawa pulang cara mengurus IKS di situ ke kampung mereka.

Penolong Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Zamir Shah Hamzah berkata, ketua-ketua kampung tersebut mengambil kesempatan mendalami dan mempelajarinya pengurusan IKS di Gombak.

Menurutnya, kira-kira 80 pengerusi serta urusetia Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melawat Kampung Damai, Kundang dan Serai.

“Kampung Damai di Kuang contohnya sudah mempunyai pusat pengumpulan IKS.

?Jadi ia adalah peluang terbaik bagi kita belajar cara pengurusan daripada JKKK kampung berkenaan cara mereka memajukan IKS di kawasan ini.

“Kita juga bertukar idea dan pandangan dengan pengurusan daerah Gombak dan JKKK di sini kerana kawasan di sini kemajuan industri beratnya lebih ke hadapan berbanding di Kuala Langat.

?Ia juga lawatan balas kerana sebelum ini kita pernah dikunjungi rombongan JKKK daerah Gombak,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, rombongan tersebut dibawa melawat beberapa tempat seperti Pusat Pengumpulan IKS di Kampung Damai, Kuang, kilang Motor Teknologi & Industri Sdn Bhd dan Pusat Equestrian di Rawang.

Penghulu Kanan Daerah Gombak, Izenan Basar berkata, lawatan rombongan JKKK Kuala Langat itu satu cara bagi mengeratkan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin antara dua daerah.

Beliau menjelaskan pihaknya berbangga kerana menjadi tuan rumah dan sedia memberikan kerjasama terhadap segala bantuan diperlukan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Naik Taraf Jalan Perkampungan Nelayan Bagan Siap Sehari

SEKINCHAN 4 SEPT : Dengan peruntukan RM22,000 melalui Geran Selangorku jalan di Kampung Nelayan Bagan di sini siap dinaik taraf untuk kegunaan dan keselesaan penduduk melakukan aktiviti harian.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, projek menurap jalan tersebut dibuat ekoran jalan yang ada sebelum ini berlubang dan tidak sempurna digunakan sejak sekian lama.

“Kita harap dengan adanya jalan ini, penduduk selesa dan tidak berhadapan masalah menjalankan urusan mereka.

“Diharap juga ia dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di kawasan ini,” jelasnya yang memaklumkan maklumat ini hasil inisiatif JKKK kampung berkenaan yang memaklumkan kepada beliau berhubung masalah jalan tersebut .

Dalam pada itu, Ng turut menyeru agar penduduk dapat bersama menjaga kemudahan infrastruktur jalan berturap itu dengan baik.

“Saya menyeru agar tiada kenderaan berat seperti lori melalui jalan berkenaan kerana dikhuatiri tidak dapat menampung bebanan (kenderaan berat) tersebut,” ujar beliau.

Ng turut meluangkan masa turun padang meninjau perlaksanaan projek oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) itu yang bermula seawal jam 11 pagi.

Kerja menurap Jalan 11, Bagan sepanjang 100 meter itu siap dalam masa sehari.

Categories
SELANGOR

Faekah : Geran Selangorku Diurus Telus

SHAH ALAM 27 JUN : Kerajaan Selangor tidak pernah berselindung berkenaan punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Belanjawan 2012 tahun lepas menyatakan geran ini berasaskan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Ia juga diperolehi daripada keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang lapuk Syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula projek Canal City.

“Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni BN, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Faekah berkata, Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh Adun, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Dakwaan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.

“Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah,” katanya.

Sehingga kini menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN di bawah BN.

“Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI.

“Md Zin atau mana-mana ahli Umno yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan,” katanya.

Justeru tegas Faekah, beliau mencabar Ahli Parlimen dan Adun BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor.

“Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, di mana dan berapa kos sebenar,” ujar Faekah.

Categories
SELANGOR

Petani Berdemo Tuntut Noh Kaji Dasar Monopoli Penjualan Benih Padi

SUNGAI BESAR,9 JUN : Kerugian hampir RM300,000 semusim yang membabitkan kira-kira 300 petani di sekitar Sekinchan disebabkan dasar monopoli penjualan benih padi sehingga menyusahkan petani.

Ekoran tidak puas hati dengan dasar itu, hari ini hampir 50 orang petani mengadakan perhimpunan aman bagi menggesa Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar agar mengkaji semula dasar berkenaan atau dimansuhkan sahaja.

Kumpulan petani berharap pihak Kerajaan Pusat memberi peluang kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan yang berkelayakan agar diberikan hak urusniaga pembelian dan penjualan benih padi selaras dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai himpunan aman di Kampung Site B Sekinchan di sini mendakwa, pembelian benih padi yang kini diswastakan menyebabkan petani berhadapan dengan masalah harga yang tidak stabil serta menjejaskan sumber pendapatan.

“Sekarang semua urusniaga penjualan benih padi setiap tahun adalah 80,000 tan, ada perbezaan benih padi yang digunakan ditanam khusus untuk benih padi, dan benih padi akan dijual serta diproses oleh pengilang kemudian akan dijual kembali kepada petani sebagai benih dan bukan beras.

“Kalau dahulu sekurang-kurangnya ada empat syarikat bukan Bumiputera dalam menceburi dalam aktiviti urusan pembelian dan penjualan benih padi tetapi sekarang tiada lagi syarikat bumiputera,” kata Suee Lim.

Jelas beliau lagi, petani berhadapan masalah tidak mempunyai kebebasan untuk menjual benih-benih padi ini dan terpaksa menjual kepada syarikat yang ditetapkan dengan harga yang tidak terjamin.

“Kadang-kadang berlakunya masalah birokrasi yang akan menyebabkan petani menjual benih padi ini dengan harga padi biasa, dan ini menjejaskan pendapatan hasil petani dan sukar untuk menyara keperluan keluarga disebabkan harga barangan yang sudah meningkat,” katanya.

Beliau menyarankan agar urusniaga benih padi itu dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kerugian yang dihadapi petani untuk satu keping adalah dianggarkan kira-kira RM1,000 dan apabila terdapat 300 petak sawah maka jumlahnya keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Bagi petani jika mereka berkurangan pendapatan RM1,000 ia amat menjejaskan kepada perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, dasar yang diamalkan ini perlu ditukar kerana ada beberapa kes di mana benih padi yang dijual kembali kepada petani tidak memenuhi spesifikasi yang menyebabkan berlakunya masalah padi angin.

“Oleh kerana kuota tersebut tidak dapat menampung permintaan yang menyebabkan benih-benih ini kurang berkualiti.

“Kita berkumpul di sini pelbagai kaum adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati yang dizahirkan oleh para petani,” katanya.

Seorang petani, Loo Kum Yong,70, berkata, beliau menyokong usaha dan desakan petani di Sekinchan itu dengan harapan agar Kerajaan Pusat mengambil perhatian masalah mereka dan dasar yang membebankan itu dikaji semula demi masa hadapan petani di sini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Geran RM5 Juta Diperuntuk Pelihara Alam Sekitar

PETALING JAYA 5 JUN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM5 juta dalam ‘Geran Selangorku’ pada tahun ini bagi melaksanakan pemeliharaan dan aktiviti penjagaan alam sekitar di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, geran alam sekitar diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan dalam melaksanakan program yang dirancang berkaitan alam sekitar.

“Jadi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah memberi lebih RM250,000 kepada NGO-NGO terbabit.

“Dalam senarai juga ada lagi 10 lagi permohonan dan pada masa terdekat kita akan menilai kesemuanya dan jika menepati kriteria maka Kerajaan Negeri akan meluluskannya,” kata Elizabeth dalam sidang media selepas penyerahan cek untuk projek dan aktiviti alam sekitar di sebuah hotel di sini.

Elizebeth berkata, Geran Selangorku yang dikhususkan kepada projek alam sekitar itu tidak terhad kepada NGO sahaja malah pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga dialu-alukan mengemukakan cadangan bagi mendapatkan geran itu.

 

“Kita juga menggalakkan sebagaimana JKKK Sungai Chua Kajang yang mempunyai program, di mana di peringkat akar umbi kita mahu memupukkan kesedaran awam di lingkungan orang kampung berkenaan penjagaan alam sekitar,” ujar beliau.

Tambah Elizabeth, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut 5 Jun (hari ini) dengan tema ‘Ekonomi Hijau’, Kita ada tanggungjawab yang berat kerana pembangunan di negeri Selangor ini dapat juga memenuhi kriteria-kriteria hijau dalam penjagaan alam sekitar,” kata Elizabeth.

Dalam majlis itu, Elizabeth menyerahkan geran kepada empat NGO dan sebuah JKKK yang masing-masing diterima oleh wakilnya.

Turut hadir dalam majlis itu, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut dan Isteri Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Pegawai Komunikasi, The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Wong Pui May berkata, persatuan itu berharap dengan penerimaan geran itu akan meningkatkan usaha dalam penjagaan hidupan liar di negara itu.

“Dengan Geran ini,maka usaha pihak persatuan akan digiatkan dalam menyebarkan maklumat dan info berkenaan penjagaan dan pemeliharaan hidupan liar khususnya di Selangor dan memberitahu masyarakat tindakan yang boleh dilakukan dalam menjayakan usaha itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Resource Stewardship Consultants Sdn Bhd (RESCU) , Lim Teck Wyn berkata badan itu dengan penerimaan geran itu akan menumpukan kepada projek pemeliharaan hutan melalui usaha penjagaan pokok kayu bakau.

“Kebanyakkan hutan asli telah dilindungi dan dijadikan hutan simpan tetapi masih ada hutan bakau yang ada diluar hutan simpan, maka kami ada projek untuk pemetaan hutan bakau yang akan dimasukkan ke dalam pewartaan hutan simpan yang belum dilindungi,” katanya.