Categories
NASIONAL SELANGOR

PBT Diminta Beri Kerjasama Kepada Parti-Parti Politik Naikkan Bendera

khalid

SHAH ALAM, 7 APRIL : Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) di Selangor diminta memberi kerjasama kepada parti-parti politik yang bertanding dengan tidak menurunkan bendera-bendera yang dipasang.

“Selaku Menteri Besar bagi kerajaan sementara, saya meminta PBT untuk memastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik kecuali jika dipasang di tempat yang boleh mengganggu keselamatan pengguna jalan raya yang dikhuatiri boleh membawa kecelakaan.

“Begitu juga mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu-bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dialih ke tempat sesuai.

“Saya juga mengarahkan PBT menurunkan kain rentang yang menghina pihak lawan serta menjatuhkan maruah seseorang,” ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media.

Sempena Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU13) kali ini, Abdul Khalid menyeru parti-parti yang bertanding termasuk pemimpin dan penyokong untuk berkempen secara sihat dan matang.

Atas dasar itu, beliau yang juga Menteri Besar mengingatkan PBT dalam memastikan perjalanan kempen PRU kali ini berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Dikatakan PRU kali ini sebagai paling sengit dalam sejarah kemerdekaan negara, beliau juga mengingatkan semua pihak yang terlibat untuk memastikan ia menjadi medan penentu masa hadapan dan bukannya PRU paling kotor.

“Suka saya mengingatkan dan menyeru rakyat Malaysia tidak kira penyokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional supaya matang berpolitik dan menjadikan pilihan raya umum kali ini untuk melaksanakan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

“Penting juga untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik dengan memastikan kempen dilakukan secara beretika dan harmoni,” tambah Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuatkuasa 3 April lalu, selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU13.

Dewan Negeri Selangor (DNS) juga dibubarkan secara rasminya pada 4 April apabila Warkah Pembubaran ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan Menteri Besar serta Ahli-Ahli Dewan Diraja.

Leave a Reply

Your email address will not be published.