Categories
NASIONAL

Mustafa Ali : Umno-BN Ciplak Manifesto PR

mustafa ali

KUALA LUMPUR 7 APRIL : Umno-BN didakwa menciplak manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang disiapkan lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) kali ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan pembentangan dilakukan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak di Stadium Tertutup Bukit Jalil malam tadi, jelas memberi gambaran manifesto Umno-BN itu menciplak manifesto PR dalam banyak perkara.

“Apabila diperhatikan, rupa-rupanya banyak sekali manifesto Umno-BN ini adalah diciplak dari manifesto PR yang kita bentang sebelum ini.

Ketika PR membentangkan manifesto ini, pemimpin Umno-BN berkata ia akan membankrapkan negara tetapi inilah juga manifeto yang diciplak Umno-BN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau memberi contoh manifesto PR menjanjikan penurunan cukai eksais kereta secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun supaya harga kereta lebih berdaya saing di samping mewujudkan industri automatif negara yang benar-benar berdaya saing serta boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.

Manakala Umno-BN, dakwanya, membentangkan manifesto Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

“Yang lain seperti pembinaaan 150,000 rumah mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM75,000) dam kategori kos sederhana rendah (RM150,000 hingga RM250,000) akan dibina dalam tempoh penggal pertama pentadbiran PR.

“Manakala Umno-BN mahu membina sejuta rumah mampu milik melibatkan sektor awam dan swasta termasuk 500,000 buah rumah PR1MA,” katanya.

Mustafa juga menyentuh tawaran slot selama 10 minit secara rakaman kepada PR yang disifatkannya sekadar “melepas batuk di tangga” dan tidak menggambarkan kebebasan media di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.