Categories
NASIONAL SELANGOR

Kembali Sihat, Menteri Besar Menghabiskan Masa Melawat Muzium, Memanah

mb istana bandar 23 jun memanah 01

KUALA LANGAT 22 JUN : Setelah dilanda insiden terlelap beberapa saat ketika di sidang media semalam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini kelihatan kembali sihat dan bersemangat menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Beliau ditemui di Majlis Perasmian Program Temasya Adat dan Warisan sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Istana Bandar di sini pagi tadi.

mb istana bandar 22 jun 03

Mengulas insiden berkenaan yang turut disiarkan di media perdana malam tadi, Abdul Khalid mengakui mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkannya terlelap.

“Kadangkala memang berlaku begitu kerana kesihatan, namun saya akan pastikan ianya tidak akan berlaku dalam persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Sudah pasti dalam persidangan DUN, saya akan menumpukan sepenuh fokus dan perhatian terhadap perbincangan dan usul yang dibahaskan,” jelas Abdul Khalid.

Terdahulu, beliau menyempurnakan upacara simbolik perasmian majlis dengan memanah belon sebelum dibawa melawat ke ruang pameran di dalam istana.

Beliau yang juga Adun Pelabuhan Klang itu kemudiannya berpeluang menyaksikan beberapa demonstrasi pelbagai jenis silat dan permainan tradisional gasing, walaupun di bawah sinaran panas matahari.

Setengah jam kemudian, beliau turut meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran dan bermesra dengan hadirin sebelum dipelawa untuk menjamu makanan tengah hari yang disediakan secara gotong royong oleh penduduk kampung.

mb istana bandar 22 jun 05

Turut hadir dalam majlis pagi tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Mengenai insiden terlelap itu, Ahmad Yunus, yang merupakan seorang doktor perubatan, menjelaskan bahawa Menteri Besar mengalami masalah kekurangan tenaga semalam.

“Dia (Abdul Khalid) tidak mengambil sarapan pagi semalam. Sebab itu badannya tidak mempunyai gula dan tenaga yang mencukupi, hingga menyebabkannya terlelap,” jelas Adun Sijangkang itu.

Semalam, Abdul Khalid dilaporkan terlelap seketika ketika sidang media diadakan sejurus selesai Majlis Upacara Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.