Categories
NASIONAL SELANGOR

Bantu produk desa, pusat pengumpulan IKS diaktifkan semula

iks

Kerajaan Negeri merancang untuk mengaktifkan semula pusat-pusat pengumpulan industri kecil dan sederhana di seluruh Selangor bagi membantu usahawan desa memasarkan produk masing-masing.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Daroyah Alwi berkata ini merupakan satu lagi strategi bersepadu Kerajaan Negeri merangsang pembangunan desa, serta membantu usahawan menerobos pasaran yang lebih luas.

“Kita akan aktifkan semula pusat pengumpulan ini. Kita akan jadikan kemudahan ini sabagai ‘One Stop Center’ untuk usahawan desa memasarkan barangan,” kata Daroyah.

Menurut beliau, pusat pengumpulan IKS di Selangor terletak di Gombak, Kuala Langat dan Sepang.

Jelas Daroyah, lokasi kemudahan di laluan strategik seperti di Sepang yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga dirasakan boleh membantu para usahawan.

“Ia juga berpotensi menjadi tumpuan pelancongan dan pelancong boleh membeli produk-produk rakyat Selangor,” kata beliau.

Serentak dengan rancangan itu, Daroyah berkata Kerajaan Negeri sedang menyenaraikan semua usahawan di Selangor bagi mengikuti perkembangan mereka dengan lebih rapat.

Antara yang menjadi perhatian adalah piawaian kandungan bahan makanan, dan peningkatan kualiti produk.

“Untuk pemberdayaan usahawan kita memberikan khidmat nasihat, sijil halal, dan mencantikkan lagi pembungkusan. Kita akan mengadakan satu program dengan kerjasama Sirim Malaysia selain menganalisa kandungan nutrisi produk makanan,” jelas Daroyah.

“Produk bersesuaian kita akan cuba pasarkan ke pasaraya memandangkan ianya dilengkapi dengan kod bar,” tambah beliau.

– HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.