Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB sedia terima ketibaan penumpang antarabangsa mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia untuk menerima kemasukan penumpang antarabangsa ke negara ini sebaik sahaja sempadannya dibuka semula pada 1 April, 2022, seperti yang diumumkan kerajaan pada Selasa.

Pengendali lapangan terbang itu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan (KKM), bagi menambah baik aliran proses di lapangan terbang terutama bagi ketibaan.

“Bagi tujuan itu, maklum balas daripada penumpang sejak beberapa bulan yang lepas turut diambil kira supaya pengalaman penumpang menjadi selancar yang mungkin sementara kesejahteraan mereka terus dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam kenyataan yang sama berkata “kecekapan protokol keselamatan di lapangan terbang adalah bidang tumpuan utama kerana ia memainkan peranan utama dalam memastikan pengalaman pemprosesan penumpang yang menyenangkan.”

Antara langkah yang diambil oleh MAHB untuk memastikan kesediaan lapangan terbang termasuk menempatkan lebih ramai kakitangan berpengalaman mengendalikan pelanggan di lapangan, serta memasang lebih banyak papan tanda dan tempat duduk di seluruh terminal untuk kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang.

Selain itu, lebih 22,000 ahli komuniti lapangan terbang telah diberi vaksin sepenuhnya. Pengendali lapangan terbang itu ingin mengingatkan semua penumpang dan tetamu lapangan terbang untuk terus mematuhi semua protokol keselamatan bagi kepentingan orang ramai.

“Kita perlu memastikan mereka mempunyai tanggapan yang baik terhadap Malaysia sebaik sahaja mereka memijak bumi kita dan tanggapan pertama ini akan bermula di lapangan terbang. Ketersediaan portal protokol Covid-19 akan sangat membantu dalam memudahkan proses ketibaan kerana penumpang kini boleh mendapatkan maklumat terkini daripada satu sumber,” kata Iskandar.

“Kami berharap untuk melihat pertumbuhan yang baik dalam pergerakan trafik penumpang dan pesawat antarabangsa kami kerana ini akan menyumbang dengan ketara kepada prestasi perniagaan kumpulan dan komuniti lapangan terbang. Antara lain, pelancongan masuk juga akan kembali cergas dan kesan limpahan di seluruh rantaian nilai akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara positif,” katanya.

MAHB adalah satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi bilangan penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Sejumlah 39 lapangan terbang di Malaysia itu terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik, dan 18 lapangan terbang berlepas dan mendarat jangka pendek (STOLports). Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, adalah antara hab penerbangan pilihan di rantau ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MAHB tidak tolak kemungkinan niat jahat punca gangguan sistem di KLIA

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian yang menyebabkan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, berpunca daripada tindakan berniat jahat.

“Bagaimanapun, kami akan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia juga berkata, rangkaian “semakin stabil.”

Meskipun mengalami gangguan rangkaian beberapa hari lepas, aspek-aspek keselamatan tetap terjaga dengan utuh, kata MAHB.

Ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, kata syarikat itu.

“Ketika kami menyediakan bantuan sedaya mungkin kepada syarikat penerbangan semasa tempoh itu, bantuan, kerjasama dan sikap timbang rasa yang sama turut diberikan kepada kami oleh syarikat penerbangan.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi melahirkan penghargaan kami kepada syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan agensi kami yang saling bekerjasama dalam menyediakan penyelesaian alternatif terbaik,” kata syarikat itu.

Saham MAHB di Bursa Malaysia turun tujuh sen untuk ditutup kepada RM8.56 hari ini dengan 1.83 juta saham bertukar tangan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bantu produk desa, pusat pengumpulan IKS diaktifkan semula

iks

Kerajaan Negeri merancang untuk mengaktifkan semula pusat-pusat pengumpulan industri kecil dan sederhana di seluruh Selangor bagi membantu usahawan desa memasarkan produk masing-masing.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Daroyah Alwi berkata ini merupakan satu lagi strategi bersepadu Kerajaan Negeri merangsang pembangunan desa, serta membantu usahawan menerobos pasaran yang lebih luas.

“Kita akan aktifkan semula pusat pengumpulan ini. Kita akan jadikan kemudahan ini sabagai ‘One Stop Center’ untuk usahawan desa memasarkan barangan,” kata Daroyah.

Menurut beliau, pusat pengumpulan IKS di Selangor terletak di Gombak, Kuala Langat dan Sepang.

Jelas Daroyah, lokasi kemudahan di laluan strategik seperti di Sepang yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga dirasakan boleh membantu para usahawan.

“Ia juga berpotensi menjadi tumpuan pelancongan dan pelancong boleh membeli produk-produk rakyat Selangor,” kata beliau.

Serentak dengan rancangan itu, Daroyah berkata Kerajaan Negeri sedang menyenaraikan semua usahawan di Selangor bagi mengikuti perkembangan mereka dengan lebih rapat.

Antara yang menjadi perhatian adalah piawaian kandungan bahan makanan, dan peningkatan kualiti produk.

“Untuk pemberdayaan usahawan kita memberikan khidmat nasihat, sijil halal, dan mencantikkan lagi pembungkusan. Kita akan mengadakan satu program dengan kerjasama Sirim Malaysia selain menganalisa kandungan nutrisi produk makanan,” jelas Daroyah.

“Produk bersesuaian kita akan cuba pasarkan ke pasaraya memandangkan ianya dilengkapi dengan kod bar,” tambah beliau.

– HM