Categories
NASIONAL

Anwar: Pendapatan rakyat perlu ditingkat untuk laksana GST

anwar-gst

KUALA LUMPUR 31 OKT – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala bentuk kebocoran, rasuah dan sistem monopoli yang membengkak dalam negara perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memikirkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Katanya, jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah, GST akan dilaksanakan dengan bersyarat, namun tidak menjadi keutamaan yang perlu disegerakan kerana memerlukan pertimbangan khusus terlebih dahulu.

Beliau berkata, pendapatan rakyat perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan sebelum pelaksaaan GST yang dilihat bakal membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya tidak mengatakan bantahan pada prinsip GST dalam ucapan belanjawan saya. Saya tegaskan daripada sudut sistem pelaksanaan GST itu lebih telus dan efisyen.

“Soalnya, dua syarat yang kita tekankan iaitu pertama hapuskan ketirisan dan kebocoran dengan menjimatkan wang itu untuk berbelanja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata, syarat kedua adalah peningkatan tahap pendapatan rakyat harus ditingkatkan dan turut mengakui sistem GST efisyen dengan negara mencatatkan lebihan ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Tetapi sekarang defisitnya parah dan saya tidak laksanakannya ketika itu walaupun kajian sistem berkenaan baik, tetapi pelaksanaannya tidak wajar,” katanya.

Berhubung hujah menjadikan Singapura sebagai contoh dalamĀ  melaksanakan GST, Anwar menjawab negara terbabit melaksanakan GST dengan perkiraan tempoh masa, selain memastikan pendapatan rakyat meningkat.

“Saya bukan tidak menyokong prinsip dasar, tetapi Singapura laksana tiga peratus dijamin tujuh dan sembilan tahun tidak naik,” katanya.

“Semua parti komponen PR akan meneruskan sesi penerangan berkenaan GST kepada rakyat supaya mereka memahami mengapa perkara ini tidak boleh dilakukan sekarang,” katanya.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan kenyataan Anwar dan mendakwa PR menyokong perlaksanaan GST secara keseluruhan, namun perkara berkenaan dinafikan. -NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.