Categories
NASIONAL

Kongres PKR 24 November ini bahas cadangan pinda perlembagaan parti

Tian Chua parlimen 01

PETALING JAYA 29 OKT: PKR akan mengadakan Kongres Nasional Khas bagi membincang dan membahaskan cadangan pindaaan perlembagaan parti untuk melancarkan lagi urusan pentadbiran serta langkah memenuhi tuntutan politik semasa.

Kongres yang membabitkan 2,000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayan Negeri Selangor, di sini, pada 24 November ini.

Pemangku Setiausaha Agung PKR, Tian Chua, berkata PKR juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti.

“Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang diketuai Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew bagi merangka, memperhalusi dan memperinci cadangan pindaan parti,” katanya pada sidang media kongres berkenaan, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Tian Chua berkata, PKR sudah meminda perlembagaan parti sebanyak tiga kali bersesuaian dengan proses evolusi dan reformasi dalaman untuk membina sebuah parti berdasarkan nilai demokratik dan keterbukaan.

Kali pertama pindaan dilakukan bagi membolehkan Parti Ikatan Masyarakat Islam menjadi Parti Keadilan Nasional pada 1999 dan diikuti pindaan pada 2003 bagi membolehkan penyatuan Parti Rakyat Malaysia dengan Parti Keadilan Nasional, sekali gus melahirkan PKR.

Pada 2010 Perlembagaan PKR sekali lagi dipinda bagi membolehkan pemilihan secara langsung dengan kaedah satu anggota satu undi digunakan dalam pemilihan parti itu, yang julung kalinya berlaku dalam sejarah politik negara.

Sementara itu, memetik laporan Keadilan Daily hari ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pindaan kali ini akan memberi kesan kepada proses pemilihan parti.

Fahmi berkata, antara cadangan yang hangat dan hebat dibincangkan ialah pindaan jumlah undi untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

?Kalau sebelum ini seorang ahli boleh memilih 20 nama calon tetapi cadangan sekarang adalah meminda kepada lima nama sahaja untuk memudahkan proses pengiraan undi dan ia sedang dipertimbangkan,” kata Fahmi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.