Categories
KENYATAAN MEDIA

Surat terbuka kepada KPN, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

OLEH DR TAN YEE KEW

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah atas prestasi yang mengagumkan pasukan Tan Sri dalam memerangi keganasan.

Polis adalah pengawal keselamatan negara, dan penguatkuasaan undang-undang dalam negara ini bergantung kepada keberkesanan pasukan polis itu sendiri.

Pasukan polis telah berjaya melakukan pelbagai penahanan sebelum pihak pengganas dapat melaksanakan serangan mereka. Perkara ini seharusnya satu perkara yang wajar diberikan pujian.

Kami sesungguhnya memahami kekangan dari segi jumlah petugas dan sumber yang dialami oleh pasukan polis kita.

Sekiranya kita benar-benar mahu kes-kes jenayah dikurangkan dengan berkesan, rakyat harus berkerjasama dengan pasukan polis dengan cara memberikan maklumat atau membuat laporan polis sekiranya terdapat bukti berlakunya jenayah.

Walaubagaimanapun, sekiranya polis tidak melakukan tindakan atau siasatan dengan kadar segera terhadap sebaran laporan yang dapat mendedahkan unsur-unsur perlakuan jenayah, di mana pihak yang bertanggungjawab telah juga dikenalpasti, maka ia akan menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat umum terhadap pasukan polis. Malahan, integriti pasukan itu juga akan terus dipersoal.

Saya ingin merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh kami di antara bulan Ogos dan November tahun lepas, berkaitan dengan individu-individu yang memberi maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan alamat tempat tinggal dalam atas tujuan untuk mengubah ke pusat mengundi yang lain.

Kami telah melakukan bancian/siasatan dari pintu ke pintu pengundi di dalam kawasan Wangsa Maju.

Hasilnya, kami telah memperolehi bukti terhadap individu-individu yang disyaki kononnya menetap di kawasan itu tetapi sebenarnya bukan pemastautin di alamat tersebut.

Malahan, pemilik alamat-alamat tersebut juga tidak mengetahui, jauh sekali mengenali, individu-individu yang dinyatakan.

Ternyata dengan siasatan dibuat, maklumat palsu telah diberikan oleh individu-individu ini kepada SPR dan JPN dengan menyatakan bahawa mereka menetap di kawasan itu, sedangkan ia tidak benar.

Permohonan pertukaran alamat dibuat mereka dipercayai atas tujuan menukar pusat mengundi.

Ini ternyata satu perbuatan yang dapat menjejaskan ketelusan dan integriti sistem pengundian negara kita secara keseluruhan!

Sekiranya tiada penahanan dilakukan terhadap individu-individu tersebut, kami khuatir sistem pendaftaran dan pengundian secara keseluruhannya akan terkesan dengan teruk. Ini adalah satu petanda yang tidak baik untuk negara kita.

Seksyen 177 Kanun Keseksaan telah menyatakan dengan jelas bahawa:

“memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum ….”

“if any person who is bound to give information to a public servant and had instead given false information is guilty of a crime and is punishable….”

Dibawah adalah kesemua laporan yang telah dibuat:

8 Ogos 2017 Wangsa Maju/009431/17 – 240 individu
6 Oktober 2017 Setapak/015906/7 – 77 individu
2 November 2017 Wangsa Maju/013309/17 – 863 individu
10 November 2017 Wangsa Maju /013648/17 – 249 individu

Jumlah individu yang telah dilaporkan kepada polis atas kesalahan memberi maklumat palsu kepada SPR ialah 1,429.

Kami juga telah mengenalpasti sejumlah 3,500 suspek lagi yang juga telah memberi maklumat palsu kepada JPN dan SPR.

Apa yang dinyatakan di atas adalah fakta-fakta kes. Namun setelah laporan tersebut dibuat, pihak polis, setakat pengetahuan kami, hanya merakamkan kenyataan dari En Raveentheran a/l Suntheralingam, pada 9 November.

Setelah itu, kami tidak menerima sebarang khabar atau perkembangan lanjut siasatan, walaupun berkali-kali kami menanyakan kepada pegawai penyiasat mengenai perkara ini.

Kami amat kecewa kerana jenayah serius memalsukan maklumat kepada penjawat awam (dalam kes ini melibatkan JPN dan SPR – dua badan terpenting kerajaan) dan mewujudkan kes seperti yang termaktub dalam Seksyen 177, tidak disiasat dengan sepenuhnya atau secara efektif.

Itu adalah tanggapan kami setelah pegawai penyiasat tidak memberikan sebarang maklumat berkaitan dengan perkembangan kes tersebut.

Kami amat yakin yang satu jenayah serius telah dilakukan , melainkan siasatan polis telah membuktikan sebaliknya.

Kami amat kecewa dengan sikap acuh tidak acuh polis. Sekiranya kenyataan kami ini hanyalah suatu persepsi, maka kami mencabar pihak polis untuk menyatakan kepada kami bahawa persepsi kami terhadap mereka sebenarnya tersilap.

Kami mahu keadilan diberikan dan perkara sebetulnya yang harus dilakukan polis adalah untuk melakukan satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh terhadap perkara ini supaya terdapat pengakhiran.

Sekiranya ia tidak disiasat dengan teliti, pihak yang bertanggungjawab atas jenayah ini akan terus bebas untuk membawa kerosakan kepada pilihanraya umum, sistem pendaftaran dan pengundian, serta integriti dan ketelusan sistem pemilihan secara demokratik di negara ini.

Bukankah menjadi tugasan pasukan polis untuk membendung dan melakukan tangkapan terhadap penjenayah di negara ini?

Bukankah menjadi satu tugasan kepada pasukan polis untuk menyiasat kesemua laporan dan memberikan penjelasan siasatan mereka kepada pelapor?

Adakah terdapat mana-mana individu yang bertanggungjawab telah ditahan setakat ini?

Sekiranya pihak polis tidak meneruskan siasatan kes ini, bolehkah kami diberitahu sebabnya?

Sekiranya siasatan dilakukan, bolehkan kami dimaklumkan sejauh mana perkembangan siasatan tersebut?

Tanggungjawab pihak polis untuk memelihara undang-undang adalah kepentingan yang teratas sekali, dan mereka harus melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan cara yang adil dan saksama, tanpa gentar atau memihak.

Rakyat selayaknya menerima pilihanraya umum yang adil dan saksama.

Selain daripada menahan mereka yang memalsukan alamat untuk mengubah pusat mengundi, dalang sebenar yang mengaturkan perpindahan pengundi secara besar-besaran ini, dengan niat untuk memanipulasi keputusan pilihanraya, harus diheret ke muka pengadilan.

Cubaan untuk memenangi pilihanraya umum dengan cara menipu dan menubuhkan kerajaan haram, menyamai dengan perendahan kuasa negara (subversion of the state power). Mereka harus disabitkan kesalahan kerana melakukan pengkhianatan.

Memandangkan Pilihanraya Umum ke-14 menginjak hampir, polis perlu melakukan tindakan segera untuk menghentikan petualang-petualang seperti ini dari mengambil kuasa dengan cara-cara penipuan dan haram.

Kami memikul harapan yang tinggi terhadap Tan Sri dan menanti untuk melihat Tan Sri membawa penjenayah-penjenayah ini ke mahkamah, sebagaimana yang Tan Sri lakukan kepada pengganas.

* Datin Paduka Dr Tan Yee Kew adalah Ahli Biro Politik KEADILAN

Categories
NASIONAL

Kongres PKR 24 November ini bahas cadangan pinda perlembagaan parti

Tian Chua parlimen 01

PETALING JAYA 29 OKT: PKR akan mengadakan Kongres Nasional Khas bagi membincang dan membahaskan cadangan pindaaan perlembagaan parti untuk melancarkan lagi urusan pentadbiran serta langkah memenuhi tuntutan politik semasa.

Kongres yang membabitkan 2,000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayan Negeri Selangor, di sini, pada 24 November ini.

Pemangku Setiausaha Agung PKR, Tian Chua, berkata PKR juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti.

“Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang diketuai Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew bagi merangka, memperhalusi dan memperinci cadangan pindaan parti,” katanya pada sidang media kongres berkenaan, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Tian Chua berkata, PKR sudah meminda perlembagaan parti sebanyak tiga kali bersesuaian dengan proses evolusi dan reformasi dalaman untuk membina sebuah parti berdasarkan nilai demokratik dan keterbukaan.

Kali pertama pindaan dilakukan bagi membolehkan Parti Ikatan Masyarakat Islam menjadi Parti Keadilan Nasional pada 1999 dan diikuti pindaan pada 2003 bagi membolehkan penyatuan Parti Rakyat Malaysia dengan Parti Keadilan Nasional, sekali gus melahirkan PKR.

Pada 2010 Perlembagaan PKR sekali lagi dipinda bagi membolehkan pemilihan secara langsung dengan kaedah satu anggota satu undi digunakan dalam pemilihan parti itu, yang julung kalinya berlaku dalam sejarah politik negara.

Sementara itu, memetik laporan Keadilan Daily hari ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pindaan kali ini akan memberi kesan kepada proses pemilihan parti.

Fahmi berkata, antara cadangan yang hangat dan hebat dibincangkan ialah pindaan jumlah undi untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

?Kalau sebelum ini seorang ahli boleh memilih 20 nama calon tetapi cadangan sekarang adalah meminda kepada lima nama sahaja untuk memudahkan proses pengiraan undi dan ia sedang dipertimbangkan,” kata Fahmi.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB, 1500 Warga Klang raikan Pesta Tanglung

Pesta Tanglung 01

KLANG, 15 SEPT: Meskipun zaman berubah, namun bagi masyarakat Tiong Hua, bulan purnama yang menyinari Perayaan Pertengahan Musim Luruh tetap membawa makna kebersamaan, kekeluargaan dan kesatuan.

Diraikan di penghujung musim menuai, perayaan ini meraikan keluarga yang berpisah dan bertemu kembali. Perayaan ini turut memperingati penat-lelah golongan petani, yang berhempas-pulas sepanjang tahun dan mengambil peluang ini untuk bersama berkongsi hasil yang diraih.

Indahnya nilai-nilai itu mendorong Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama-sama 1,500 warga Klang turun meraikan perayaan itu di Bandar Bukit Tinggi, Klang, meskipun gerimis sekali-sekala turun sepanjang malam.

Jamuan dimeriahi kehadiran warga Klang dari warga emas hingga ke anak kecil, serta pimpinan setempat, termasuk Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Tinggi, Gan Ee Chai.

Pesta Tanglung 01 (2)

Selepas memberi ucapan santai, Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang bersama penduduk diraikan dengan tarian singa dan naga. Letupan mercun pelbagai jenis melimpahi majlis dengan pelbagai warna dan bunyi.

Meskipun tanglung istimewa tidak dapat dilepaskan ke udara kerana hujan tidak mengizinkan, orang-ramai masing-masing membawa tanglung-tanglung kecil yang digantung pada hujung kayu pendek. Tanglung turut digantung di mana ruang membenarkan. Sememangnya perayaan ini tidak boleh dipisahkan dengan tanglung yang membawa pelbagai makna tersendiri mengikut kepercayaan masing-masing dan sejarah setempat.

Suatu masa dahulu di Pingxi, orang-orang kampung melepaskan tanglung ke udara membawa berita gembira kepada kampung jiran-jiran bahawa mereka terselamat dari serangan penyangak.

Di perayaan ini, Khalid bersama-sama hadirin membawa tanglung dan berarak sekitar Bandar Bukit Tinggi untuk bertemu dan beramah-mesra dengan warga Klang. Barangkali beliau juga membawa berita gembira kepada rakyat Selangor bahawa kita satu keluarga yang besar, dan kebajikan mereka terpelihara dibawah Kerajaan Negeri pimpinannya.

Pesta Tanglung 01 (1)