Categories
SELANGOR

MBPJ terajui ‘Bandaraya Hijau Berkarbon Rendah’

mbpj alinah eli

PETALING JAYA 2 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali lagi mengorak langkah dalam usaha menjadikan Petaling Jaya sebuah Bandaraya Hijau Berkarbon Rendah.

Bagi merealisasikan hasrat itu, MBPJ menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech) di Ibu Pejabat MBPJ di sini, hari ini.

MOU itu ditandatangani oleh Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech, Ahmad Hardi Haris sambil diperhatikan oleh Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Elizabeth dalam ucapannya berkata, MBPJ sekali lagi menjadi peneraju ‘Low Carbon Cities Framework (LCCF)’ bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

“Dengan adanya usahasama ini, sudah tentu pasukan petugas LCCF ini akan dapat dipertingkatkan dalam menjana idea-idea pembangunan baru yang lebih mesra alam sekaligus membantu negara mancapai sasaran pengurangan 40 peratus pelepasan gas karbon dioksida menjelang 2020.

“Saya harap inisiatif ini akan menjadikan contoh kepada PBT lain di negeri ini dalam memberi fokus kepada penduduk dan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Elizabeth memaklumkan, beliau juga sudah membentangkan pelan rancangan lima tahun bagi mewujudkan ‘Renewable Technology’ di Selangor sebagai usaha menjadikan negeri ini lebih sihat.

Sementara itu, Alinah turut menggariskan beberapa perkara baru yang akan dilaksanakan antaranya konsep pembangunan berasaskan ‘people centrix’ yang mengutamakan penjalan kaki dan penunggang basikal.

Selain itu, mewujudkan koridor hijau Petaling Jaya, menawarkan pelbagai pilihan mod pengangkutan kepada penduduk sekitar dan memperkenalkan skim rebat cukai taksiran kepada pemilik premis perniagaan.

“Dengan jalinan kerjasama ini, peranan GreenTech sebagai perunding dari segi membantu MBPJ menyediakan maklumat asas serta memperkenalkan inovasi baru amat diharapkan,” katanya.

Bagi menggerakkan pelaksanaan perancangan dan program MBPJ sudah menubuhkan pasukan petugas LCCF yang terdiri daripada Ahli Majlis, Jabatan Teknikal dan Badan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini, MBPJ turut melaksanakan beberapa insiatif antaranya mewujudkan zon matikan enjin ketika menunggu di semua premis milik MBPJ dan larangan menggunakan beg plastik pada setiap hari Jumaat selain hari Sabtu.

Selain itu, meletak kereta secara percuma bagi pembelian kereta Hybrid di Petaling Jaya dan mengenakan syarat kebenaran merancang yang mesra alam seperti ‘Green Building Index’ di rumah banglo.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.