Categories
NASIONAL

Jawatankuasa khas perlu ditubuh siasat kehilangan senjata api

Audit-PolisKUALA LUMPUR 2 OKT: Pakatan Rakyat mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menilai Laporan Ketua Audit Negara.

Jawatankuasa ini perlu dianggotai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ia dizahirkan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali susulan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang mendedahkan terlalu banyak ketirisan terutama melibatkan polis.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, anggota perkhidmatan awam tidak boleh dipersalah secara keseluruhan berhubung kehilangan pelbagai peralatan dalam simpanan polis.

“Pakatan menegaskan perkara ini dihenti dengan membentuk jawatankuasa khas untuk melihat secara terperinci Laporan Ketua Audit Negara.

“Kalau ada keperluan mereka yang bertanggungjawab terus dibawa ke muka pengadilan,” katanya di lobi Parlimen.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan polis merekod 309 barangan dalam bentuk senjata api, gari dan kenderaan, hilang.

Ia berlaku antara 2010 hingga 2012, melibatkan kerugian RM1.33 juta melibatkan kehilangan gari sebagai kes paling tinggi iaitu 156, diikuti senjata api (44) dan kenderaan polis (29).

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.