Categories
NASIONAL

Najib ‘tak jujur’ bentang Belanjawan Negara 2014

Mohd Azmi Abdul HamidSHAH ALAM 29 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak berlaku jujur apabila sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak daripada pengetahuan umum ketika pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Hamid, berkata tindakan Najib itu amat dikesali kerana seperti membelakangkan rakyat daripada mengetahui perkara sebenar.

Beliau berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan tidak sepatutnya memandang remeh perkara terbabit hanya kerana ingin melayan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan lumayan.

“Ini satu amalan pembentangan yang tidak jujur dan semuanya jadi retorik, apabila yang dikatakan kerajaan sebelum ini untuk memperkukuhkan transformasi ekonomi dan memenuhi janji, tidak berlaku.

“Kenaikan barangan asas keperluan rakyat seperti minyak masak tidak seharusnya yang patut disembunyikan kerana pengguna akan tahu dan akan menjadi isu yang bakal dibangkitkan mereka. Jangan fikir perkara ini tidak dapat dikesan walaupun cuba disembunyikan,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Putrajaya sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih untuk mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula ketika pembentangan belanjawan.

Sementara itu, Azmi ketika diminta mengulas kenyataan pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander yang meramalkan kerajaan akan memotong subsidi petrol kali kedua tahun depan turut menegaskan perkara itu sudah dijangka akan berlaku.

Katanya, tindakan kerajaan pusat menarik subsidi itu adalah disebabkan Malaysia sudah tidak mampu menguruskan sumber dengan baik dan terpaksa mengikut aliran kenaikan harga minyak di pasaran duna.

“Barisan Nasional wajar mempertimbangkan cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk merasionalisasikan kos, bukannya subsidi. Seluruh negara akan menerima akibat daripada pengurusan tidak baik ini apabila dana subsidi yang dapat disimpan sudah disalah guna,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.