Categories
NASIONAL

Najib ‘tak jujur’ bentang Belanjawan Negara 2014

Mohd Azmi Abdul HamidSHAH ALAM 29 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak berlaku jujur apabila sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak daripada pengetahuan umum ketika pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Hamid, berkata tindakan Najib itu amat dikesali kerana seperti membelakangkan rakyat daripada mengetahui perkara sebenar.

Beliau berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan tidak sepatutnya memandang remeh perkara terbabit hanya kerana ingin melayan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan lumayan.

“Ini satu amalan pembentangan yang tidak jujur dan semuanya jadi retorik, apabila yang dikatakan kerajaan sebelum ini untuk memperkukuhkan transformasi ekonomi dan memenuhi janji, tidak berlaku.

“Kenaikan barangan asas keperluan rakyat seperti minyak masak tidak seharusnya yang patut disembunyikan kerana pengguna akan tahu dan akan menjadi isu yang bakal dibangkitkan mereka. Jangan fikir perkara ini tidak dapat dikesan walaupun cuba disembunyikan,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa Putrajaya sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih untuk mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula ketika pembentangan belanjawan.

Sementara itu, Azmi ketika diminta mengulas kenyataan pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander yang meramalkan kerajaan akan memotong subsidi petrol kali kedua tahun depan turut menegaskan perkara itu sudah dijangka akan berlaku.

Katanya, tindakan kerajaan pusat menarik subsidi itu adalah disebabkan Malaysia sudah tidak mampu menguruskan sumber dengan baik dan terpaksa mengikut aliran kenaikan harga minyak di pasaran duna.

“Barisan Nasional wajar mempertimbangkan cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk merasionalisasikan kos, bukannya subsidi. Seluruh negara akan menerima akibat daripada pengurusan tidak baik ini apabila dana subsidi yang dapat disimpan sudah disalah guna,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar dedah Najib sembunyi kenaikan harga minyak masak

minyak-masak-1KUALA LUMPUR 28 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih untuk mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula.

Beliau turut mempersoalkan tindakan berkenaan ketika pengeluaran minyak sawit sedang melonjak dan rakyat masih dikejutkan dengan kenaikan harga gula.

Anwar berkata, pihaknya tertanya punca Najib ‘segan’ untuk mengumumkan kenaikan harga minyak masak yang bakal dihadapi akibat pengurangan subsidi yang bernilai RM505 juta yang sama dengan penghapusan subsidi gula dalam ucapan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Kenapa kerajaan pilih untuk mengurangkan subsidi dan menyembunyikan kesan pengurangan subsidi minyak masak. Dalam situasi semasa, yang mana pengeluaran minyak mentah kelapa sawit dunia berada pada tahapp yang tertinggi,” kata Anwar dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2014, di Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar turut mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang tidak memilih inisiatif untuk memperuntukkan subsidi minyak kelapa sawit (CPO) kepada setiap isi rumah.

“Sebagai contoh, Indonesia memperuntukkan CPO sebanyak dua liter kepada setiap isi rumah, selain subsidi biofuel. Kenapa Malaysia tiada inisiatif itu sedangkan harga minyak masak akan dinaikkan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, berkata kesan penghapusan subsidi gula sebanyak 34 sen akan menyebabkan keuntungan dua syarikat gula iaitu Malaysian Sugar Manufacturing dan Central Sugar kepada 20 hingga 25 peratus iaitu sebanyak RM1 bilion setahun, akibat pengukuhan monopoli syarikat itu.

Katanya, tindakan pengurangan subsidi itu menjadikan syarikat korporat mendapat keuntungan berganda tetapi rakyat dibebankan dengan kenaikan harga gula.

“Keuntungan syarikat itu sebelum cukai adalah sekitar sembilan peratus dengan pendapatan kasar industri itu sekitar RM4 bilion dan dengan penghapusan itu, ia akan melonjak naik 20 hingga 25 peratus. Jelas sekali yang rugi dan terus dibebani adalah rakyat danĀ  Sebaliknya syarikat korporat besar dibelai dan dilindungi kerajaan,” katanya.

-NFN-