Categories
SELANGOR

Teng – konsep Pertanian Urban dengan formula terbaik

New_crops-Chicago_urban_farmSHAH ALAM 1 OKT : Kerajaan Negeri akan merangka konsep Pertanian Urban (UA) dalam siri mesyuarat melibatkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pejabat-Pejabat Exco bertanggungjawab, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat-Pejabat Adun dan penduduk yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata mesyuarat itu nanti mahu mencari formula untuk menerap dan melaksanakan Pertanian Dalam Bandar secara holistik, berkesan dan cekap.

“Pertanian Urban ini satu konsep yang masih dalam perbincangan. Belum ada lagi rancangan yang konkrit untuk dimajukan.

“Oleh itu pihak saya dan Menteri Besar akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Adun, Ahli Majlis dan juga penduduk di kawasan PBT berkaitan untuk mencari satu formula yang terbaik supaya apabila dilaksanakan ia akan berjalan dengan lancar,” katanya.

UA dinyatakan oleh Abdul Khalid di Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya pada 23 dan 24 September lalu, sebagai respon kepada urbanisasi pesat di Selangor. Menjelang 2020, beliau menjangkakan 85 peratus kawasan di Selangor akan bertukar menjadi bandar.

Didorong keperluan mempertahankan bekalan makanan yang berterusan, memastikan sumber khasiat gizi untuk rakyat tidak terputus, dan membuka peluang pendapatan baru untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Selangor kini menyertai inisiatif sejagat memetakan UA dalam perancangan bandar.

UA meletakkan sistem budidaya, pemprosesan dan pemasaran sayur-sayuran, buah-buahan dan daging segar serta produk berasaskan tani dalam zon yang telah dimajukan dan sepanjang lingkaran antarabandar di tanah-tanah milikan awam, milikan peribadi atau tanah komuniti.

Mewujudkan prasarana UA berasaskan komuniti bermaksud meletakkan sistem setempat untuk bertani, memproses makanan dan menghubungkan petani kepada pengguna. Di Amerika Syarikat sahaja, program-program UA dari taman komuniti seperti Seattle P-Patches menyumbang sekitar USD1.25 juta hasil tani setiap tahun.

“Apabila sudah ada konsep, kita akan lihat apa elemen yang akan diletakkan dalam program ini dan daripada elemen ini dimanakah kekangan yang mungkin akan dihadapi dan sebagainya.

“Bagaimanapun ia adalah perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa dan sejahtera,” tegas Chang Khim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.