Categories
SELANGOR

Teng – KDN, PDRM diminta kaji peranan polis bantuan

polisSHAH ALAM 1 OKT : Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi digesa untuk mengkaji semula cadangan meluaskan peranan dan kuasa Polis Bantuan (PBT) untuk membantu menjaga keamanan di kawasan kediaman dan komersil.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata keselamatan rakyat perlu diutamakan terutama dengan kadar jenayah yang meningkat mutakhir ini.

“Kerajaan Negeri berharap Kementerian Dalam Negeri dan polis dapat mengkaji semula cadangan mereka. Sebenarnya yang memerlukan kawalan polis adalah kawasan kediaman dan juga perniagaan, bukan di pejabat kerajaan.

“Pejabat kerajaan tidak perlu diletakkan di dalam senarai keutamaan yang tertinggi kerana semua pejabat kerajaan sudah mempunyai pengawal keselamatan. Sementara itu yang menjadi rungutan orang ramai adalah kadar jenayah kelihatan meningkat kerana kekurangan rondaan anggota polis,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Dari segi jumlah bilangan anggota polis bantuan, Teng berkata, ia bergantung kepada keupayaan dan keperluan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengambil kira kepadatan jumlah penduduk di kawasan seliaannya.

“Seperti di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, mereka mempunyai peruntukan kewangan lebih selesa dan memandangkan kepadatan penduduk di kawasan ini adalah tinggi maka adalah wajar mereka menggunakan lebih ramai polis bantuan berbanding dengan kawasan yang kurang padat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Teng – konsep Pertanian Urban dengan formula terbaik

New_crops-Chicago_urban_farmSHAH ALAM 1 OKT : Kerajaan Negeri akan merangka konsep Pertanian Urban (UA) dalam siri mesyuarat melibatkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pejabat-Pejabat Exco bertanggungjawab, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat-Pejabat Adun dan penduduk yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata mesyuarat itu nanti mahu mencari formula untuk menerap dan melaksanakan Pertanian Dalam Bandar secara holistik, berkesan dan cekap.

“Pertanian Urban ini satu konsep yang masih dalam perbincangan. Belum ada lagi rancangan yang konkrit untuk dimajukan.

“Oleh itu pihak saya dan Menteri Besar akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Adun, Ahli Majlis dan juga penduduk di kawasan PBT berkaitan untuk mencari satu formula yang terbaik supaya apabila dilaksanakan ia akan berjalan dengan lancar,” katanya.

UA dinyatakan oleh Abdul Khalid di Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya pada 23 dan 24 September lalu, sebagai respon kepada urbanisasi pesat di Selangor. Menjelang 2020, beliau menjangkakan 85 peratus kawasan di Selangor akan bertukar menjadi bandar.

Didorong keperluan mempertahankan bekalan makanan yang berterusan, memastikan sumber khasiat gizi untuk rakyat tidak terputus, dan membuka peluang pendapatan baru untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Selangor kini menyertai inisiatif sejagat memetakan UA dalam perancangan bandar.

UA meletakkan sistem budidaya, pemprosesan dan pemasaran sayur-sayuran, buah-buahan dan daging segar serta produk berasaskan tani dalam zon yang telah dimajukan dan sepanjang lingkaran antarabandar di tanah-tanah milikan awam, milikan peribadi atau tanah komuniti.

Mewujudkan prasarana UA berasaskan komuniti bermaksud meletakkan sistem setempat untuk bertani, memproses makanan dan menghubungkan petani kepada pengguna. Di Amerika Syarikat sahaja, program-program UA dari taman komuniti seperti Seattle P-Patches menyumbang sekitar USD1.25 juta hasil tani setiap tahun.

“Apabila sudah ada konsep, kita akan lihat apa elemen yang akan diletakkan dalam program ini dan daripada elemen ini dimanakah kekangan yang mungkin akan dihadapi dan sebagainya.

“Bagaimanapun ia adalah perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa dan sejahtera,” tegas Chang Khim.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bonus Raya : Selangor Dahului Persekutuan – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Persekutuan digesa melantik satu badan bebas dan mengkaji semula kadar tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikatakan tinggi dan membebankan pengguna.

2. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pembayaran bonus Hari Raya sebanyak sebulan gaji kepada kakitangan awamnya.

3. Penghuni empat blok Pangsapuri Desa Mentari boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM100,000 bagi membaiki lif yang rosak.

4. Kerajaan Negeri akan mengkaji keperluan penggunaan senjata api di kalangan anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

5. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan akan menyeragamkan beberapa gerak kerja dan operasi di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha mempastikan keberkesanan diperingkat pelaksanaannya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat

PETALING JAYA, 10 NOV : Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga lagi Tadika Rakyat di Serendah, Kapar dan Dengkil bagi membolehkan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah menerima pendidikan di peringkat awal.

Pembinaan tadika tersebut merupakan kesinambungan daripada dua tadika sedia ada iaitu di Taman Sentosa, Klang dan Kampung Lindungan di Petaling Jaya.

Oleh itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyeru ibubapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka kepada tadika-tadika ini.

“Tadikan ini terbuka kepada semua kaum. Justeru, penduduk di kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk mendaftar anak-anak anda.

“Selain bayaran yuran yang rendah, anak-anak juga akan terdedah dengan pendidikan asas di peringkat awal,” katanya lagi.

Katanya, pendidikan pra-sekolah adalah langkah awal untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan kelak.

“Berdasarkan kajian, masih terdapat 30 peratus kanak-kanak yang tidak mendaftar di mana-mana tadika kerana tidak mampu untuk membayar yuran bulanan.

Ekoran daripada itu, kebanyakan kanak-kanak ini ketinggalan dari aspek pendidikan seperti tidak tahu menulis, mengira ataupun membaca.

Hal ini menyebabkan mereka akan tercicir apabila masuk ke sekolah rendah nanti dan menimbulkan masalah serius untuk jangka masa panjang.

“Kurangnya pendedahan pendidikan di peringkat awal antara punca yang menyumbang kepada gejala sosial,” katanya semasa Majlis Perasmian Tadika Rakyat Kampung Lindungan di sini, pagi tadi.

Tadika Rakyat di Kampung Lindungan merupakan cawangan kedua yang dibina Kerajaan Negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO), Child Information, Learning and Development Centre (Child).

Tadika tersebut dikhaskan untuk keluarga berpendapatan bawah RM 1,500.

Di samping menyediakan pembelajaran selesa, murid-murid juga hanya dikenakan bayaran serendah RM 20 sebulan.

Tadika yang bernilai kira-kira RM 460,000 itu dilengkapi lapan buah kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 orang murid setiap kelas.

Kerajaan Negeri telah memberi RM 50,000 untuk setiap tadika itu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib.