Categories
NASIONAL

Fuziah bakal jalin kerjasama dengan UAE, pastikan bantuan banjir adil dan telus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 26 DIS: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan berhubung secara terus dengan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi memastikan mangsa banjir di Kuantan tidak dipinggirkan dalam pengagihan bantuan yang disalurkan kerajaan negara itu.

Katanya, tindakan terbabit diambil ekoran wujudnya kemungkinan bantuan berkenaan dengan sengaja tidak disalurkan secara adil dan telus hanya disebabkan Kuantan dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

“Saya akan menjalinkan kerjasama dengan UAE untuk memberikan penerangan sebenar yang berlaku iaitu Kuantan adalah kawasan paling teruk terjejas dilanda banjir kerana mereka mungkin tidak mempunyai maklumat sebenar.

Fuziah Salleh“Tindakan ini diambil kerana kenyataan asal bantuan itu disalurkan untuk mangsa banjir di Pekan, Pahang dan Kelantan, manakala Kuantan tidak disebut,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Selain itu, Fuziah juga khuatir terhadap mekanisma pengagihan bantuan yang tidak telus sehingga menyebabkan golongan menangguk di air keruh mengambil keuntungan peribadi dalam menguruskan bantuan terbabit.

“Bantuan ini akan digunakan untuk membina rumah dengan membeli bahan binaan daripada pasaran tempatan yang mungkin akan membabitkan berapa ramai orang tengah yang cuba mengaut keuntungan.

“Bila rumah sudah siap nanti, kita tidak mahu kos sebuah rumah yang sepatutnya RM30 ribu hingga RM40 ribu tetapi mencecah hingga RM70 ribu dan ini yang saya bimbangkan,” katanya.

Fuziah berkata, perbuatan golongan tidak bertanggungjawab itu juga akan menyebabkan mangsa banjir sebenar tercicir daripada mendapat bantuan yang seharusnya mditerima.

Sebelum ini, Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan mengarahkan supaya kerajaan negara itu memperuntukkan AS$10 juta (RM32.5 juta) bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, baru-baru ini.

Bantuan terbabit berbentuk keperluan asas seperti kediaman yang diperoleh daripada pasaran tempatan dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.