Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UAE sumbang hampir 10,000 barangan asas kepada mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 9,600 barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di negeri ini semalam.

Barangan berupa beras, minyak masak, tepung gandum dan gula serta kit pencuci seperti berus gigi, tuala wanita dan cecair pencuci tangan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Datuk bandar Shah Alam berkata kesemua barangan terbabit akan diedar kepada mangsa banjir yang dikenal pasti dalam tempoh terdekat khususnya mangsa di Taman Sri Muda.

“Kita berterima kasih kepada UAE yang melalui Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) mereka menyampaikan sumbangan ini bagi membantu mangsa yang terkesan.

“Kita mempunyai data mangsa yang benar-benar terkesan yang diperoleh dari ahli majlis. Kita akan serahkan dalam tempoh terdekat,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan berkenaan dari wakil PBSM UAE Mohamed Salim Aljunabi di Wisma MBSA semalam.

Sebelum ini, MBSA mengedar makanan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang berlindung di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Twitter berkata bantuan berkenaan berupa minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita yang disampaikan oleh kakitangannya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perancangan skuad Harimau Malaya tidak terjejas dengan PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Selangor, Terengganu, Johor dan Perak tidak mengganggu percaturan pasukan bola sepak kebangsaan membuat persediaan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 16 Mei ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yakin model Gelembung Sukan yang dilaksanakan skuad Harimau Malaya sama ada dalam aktiviti pasukan mahupun venue latihan adalah selamat, sehingga skuad berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei depan.

“Tetapi dengan pengumuman baru ini, mungkin ada kekangan atau SOP (tatacara operasi piawai) berubah. Jadi kita akan memastikan semua arahan dan garis panduan yang diberikan (dipatuhi) dan pasukan kebangsaan tidak akan terganggu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis undian Liga M3 2021 dan pemeteraian perjanjian penajaan antara Liga Amatur Malaysia (AFL) dengan syarikat minuman tenaga terkenal dari Indonesia, Extra Joss, malam tadi.

Mengulas lanjut, Stuart berkata persediaan pihaknya untuk menghadapi kempen kelayakan itu berjalan lancar, namun hanya beberapa perkara berkaitan logistik dan venue latihan sedang dibincangkan dengan kerjasama baik daripada Persatuan Bola Sepak UAE.

Selain itu, katanya walaupun sudah hampir 18 bulan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif danhanya mengadakan kem latihan pusat sekali pada Mac lepas, pemain tetap bersemangat untuk mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G serta tidak menjadikan Covid-19 alasan gagal mempamerkan aksi yang terbaik pada kempen itu.

“Maklum balas yang saya terima dari jurulatih Tan sangat positif, saya rasa pasukan kebangsaan yang tidak beraksi dan tidak bersama untuk tempoh yang agak lama, memberi satu sentimen dan semangat dalam pasukan yang agak luar biasa kali ini.

“Pemain sendiri meminta untuk berlatih lebih awal dan mahu bersama-sama pasukan lebih lama dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada saya, kita harus lebih positif dan tidak membenarkan perkara-perkara negatif mengganggu tumpuan kita,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan melengkapkan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada Isnin (10 Mei) ini sebagai persediaan ke UAE selepas memperoleh suntikan pertama, bulan lepas.

Mengenai hasrat Korea Utara yang mahu menarik dari daripada kelayakan Kumpulan H di Korea Selatan kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19, Stuart berkata beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Biarlah AFC yang membuat keputusan mengenai kedudukan dalam kumpulan dan slot ke pusingan ketiga nanti. Sekarang ini, kita tidak tahu sama ada keputusan Korea Utara itu akan memberikan impak negatif kepada kita, tetapi pasukan kebangsaan bersedia untuk mencapai keputusan terbaik di UAE,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei), Malaysia akan menyambung kempen kelayakan yang tertangguh lebih setahun menentang UAE (3 Jun), diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam aksi Kumpulan G.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia berhasrat tingkat usaha dengan UAE bangun vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Malaysia berhasrat untuk meningkatkan usaha membangunkan vaksin bersama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha menangani pandemik Covid-19, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam temu bual eksklusif dengan Emirates News Agency (WAM) Seri Paduka bertitah UAE telah menunjukkan bahawa negara itu adalah rakan kepada Malaysia dalam tempoh sukar ini.

“Kedua-dua negara boleh meneroka dan memperhebatkan hubungan dalam bidang pembangunan vaksin Covid-19 dan mengukuhkan kerjasama pasca pandemik antaranya dalam bidang kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan, pertanian, teknologi masa depan, tenaga bersih dan boleh diperbaharui, industri halal serta pelancongan,” titah Seri Paduka seperti yang dipetik dalam laporan WAM semalam.

Al-Sultan Abdullah berada Abu Dhabi, UAE untuk lawatan lima khas lima hari dan dalam lawatan itu baginda telah mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE serta pegawai-pegawai kanan negara berkenaan.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengulas mengenai nilai-nilai bersama antara negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dengan menyatakan bahawa Malaysia sebagai negara perdagangan telah meletakkan penekanan yang kukuh terhadap hubungan dengan negara-negara GCC, terutamanya UAE.

“Malaysia juga berkongsi banyak persamaan dengan negara GCC, dengan lokasi geografinya yang strategik, UAE khususnya, telah menjadi hab perdagangan utama bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia sejak sekian lama,” titah Seri Paduka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong puas hati lawatan ke Abu Dhabi, tiba di tanah air esok

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat tiba di tanah air esok selepas menamatkan lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda dan delegasi akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dan sebaik mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Al-Sultan Abdullah akan menjalani kuarantin kendiri seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala delegasi pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan itu yang dibuat atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan kerajaan UAE di atas layanan yang amat istimewa yang diberikan sepanjang lawatan khas ini, termasuk menanggung semua kos logistik Seri Paduka Baginda dan delegasi,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) berkenan menerima menghadap Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais di Emirates Palace, Abu Dhabi pada 23 Disember 2020. Foto Facebook Istana Negara

Ahmad Fadil berkata dalam lawatan khas itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi UAE Dr Abdul Rahman bin Mohammed Al Owai serta melakukan lawatan ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Masdar City.

Semasa sesi itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas hasrat menyumbang vaksin Covid-19 yang antara lain bagi tujuan kajian klinikal di Malaysia.

Lawatan ke ADNOC dan Masdar City pula memberi pendedahan yang sangat berguna, khususnya dalam mengenal pasti kerjasama dan usaha sama dalam bidang huluan dan hiliran petrokimia serta penapisan minyak selain tenaga boleh diperbaharui, katanya.

“Kehadiran Sheikh Mohamed Zayed semasa ketibaan Al-Sultan Abdullah di lapangan terbang Abu Dhabi dan kunjungan-kunjungan mesra yang diadakan dalam tempoh lawatan ini juga jelas menunjukkan keakraban kedua-dua pemimpin yang terjalin sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Ahmad Fadil berkata lawatan itu juga mencerminkan hubungan dua hala kedua-dua negara yang kukuh di samping pemantapan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pemimpin.

Lawatan khas itu adalah kali ketiga buat Seri Paduka Baginda sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Lawatan pertama pada 12 hingga 15 Jun 2019 disusuli lawatan kedua, iaitu lawatan peribadi yang juga atas jemputan Sheikh Mohamed Zayed pada 29 November hingga 3 Disember 2019.

Sheikh Mohamed Zayed pula telah melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan Al-Sultan Abdullah bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

UAE merupakan rakan dagang dan sumber eksport serta import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan dua hala berjumlah US$6.42 bilion (RM25.9 bilion) pada 2019.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, menteri kesihatan UAE bincang sumbangan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais di Emirates Palace, Abu Dhabi pada Rabu.

Sesi menghadap itu adalah satu daripada acara lawatan khas lima hari Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi, UAE.

Pertemuan itu antara lain membincangkan hasrat kerajaan UAE untuk menyumbang vaksin Covid-19 kepada Malaysia antaranya bertujuan untuk kajian klinikal di negara ini.

“Al Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada Dr Abdul Rahman dan kerajaan UAE atas hasrat itu,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata bagaimanapun, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa beberapa proses perlu diambil kira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal di Malaysia.

“…khususnya menerusi Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata hasrat sumbangan vaksin Covid-19 dan lawatan khas itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan erat terjalin antara kedua-dua negara.

Ia juga menunjukkan Malaysia dan UAE bersama berganding bahu dalam usaha memerangi Covid-19 serta kerjasama pemulihan pascawabak.

Dalam lawatan itu, Al-Sultan Abdullah juga berkenan melakukan kunjungan mesra terhadap Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di kediaman rasminya pada 22 Disember.

Lawatan khas itu adalah atas jemputan Sheikh Mohamed dan Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang ke tanah air pada Jumaat (25 Disember).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cheng Hoe: Pemain tak mampu bertahan, tukar peluang jadi jaringan

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kekalahan tipis 1-2 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi, ekoran pemain tidak mampu bertahan dalam perlawanan sengit dan menukarkan peluang kepada jaringan gol di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Ketua Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe yang berharap sekurang-kurangnya pasukan bimbingan beliau mampu seri dengan pasukan nombor ke-65 dunia dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, nampak kecewa dengan keputusan itu.

“Secara keseluruhan pemain menunjukkan satu persembahan yang hebat, tetapi kami tidak boleh bertahan dalam tempo sama dan perlawanan sengit. Dalam separuh masa pertama, terutamanya dalam 20 minit pertama kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

“Pemain tahu mereka perlu meningkatkan tempo dan bermain dengan penuh keterujaan kerana bermain dengan pasukan yang lebih baik , jadi mana-mana peluang yang kamu cipta, anda perlu jaringkan. Saya rasa UAE mempunyai dua peluang baik dan mereka menukarkannya kepada gol,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.

Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) meraikan jaringan gol pertama pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2030 menentang Emiriyah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September 2019. Foto BERNAMA

Cheng Hoe berkata, pasukan bimbingannya yang berada pada ranking ke-159 dunia, perlu bekerja keras dalam persiapan perlawanan seterusnya, terutama menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, pada 10 Oktober.

Malaysia bermula garang menerusi gol tandukan Muhammad Syafiq Ahmad, 36 saat selepas perlawanan bermula dan menguasai permainan selama 30 minit, sebelum UAE memastikan kemenangan menerusi jaringan Ali Ahmed Mabkhout pada minit ke-43 dan ke-74.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UAE, Bert van Marwijk mengakui anak buahnya bermula dengan sumbang kerana Harimau Malaya tidak memberi sebarang peluang kepada gergasi Timur Tengah itu.

“Kami ketinggalan 0-1, setiap orang ‘tertidur’ dan tidak dapat menguasai bola dan saya sedar terdapat kelompangan taktikal di sebelah kiri dan saya cuba perbetulkannya. Pada babak kedua, pasukan Malaysia kelihatan penat, kami berjaya menjaringkan gol.

“Saya gembira kerana menang di sini kerana kami tidak menjangka menang di sini,” katanya.

Warga Belanda itu yang membawa pasukan negaranya ke final Piala Dunia 2010 tetapi tewas 0-1 kepada Sepanyol berkata, selepas tiga pertukaran di buat Cheng Hoe selepas UAE mendahului, menyuntik kembali semangat tuan rumah.

UAE akan menjadi tuan rumah kepada Indonesia di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 10 Oktober depan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed akhiri lawatan ke UAE

ABU DHABI, 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed dan melawat Muzium Louvre Abu Dhabi.

Sultan Abdullah yang tiba di Abu Dhabi sejak Rabu, berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid itu, merupakan antara masjid terbesar di dunia yang memperlihatkan ciri-ciri unik di antara seni Islam dan budaya dunia.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka ialah Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

ABU DHABI, 14 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sheikh Zayed pada lawatan khas baginda hari ini.–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Baginda berdua disertai Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Marzuki Yahya selaku Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Duta Besar Malaysia di UAE Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Datuk Yubazlan Yusof.

Terdahulu pada awal pagi Jumaat, Seri Paduka berkenaan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia di Abu Dhabi dalam satu majlis ringkas dan tertutup di Emirates Palace Hotel.

Pada petangnya, Sultan Abdullah meluangkan masa melawat Louvre Abu Dhabi, sebuah muzium kesenian dan ketamadun pertama di dalam dunia Arab yang menyerlahkan semangat keterbukaan dan kepelbagaian budaya dunia.

Baginda kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat waktu tempatan.

Ini merupakan lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 31 Jan.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Dua juruterbang UAE maut di Yaman

ABU DHABI 18 OKT: Dua juruterbang tentera udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan terbunuh selepas pesawat dinaiki terhempas ketika bertugas di Yaman.

Agensi berita WAM melaporkan, masalah teknikal dipercayai menjadi punca pesawat tentera yang dinaiki dua juruterbang terbabit terhempas ketika dalam misi di Yaman.

UAE adalah anggota pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi yang membantu Kerajaan Yaman menentang pemberontak yang mendapat sokongan Iran.

Tentera pakatan terbabit sering mengadakan serangan udara di kawasan yang dikuasai pemberontak, selain menyasarkan kawasan yang mempunyai kaitan dengan militan Daesh di Semenanjung Arab.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat in, lebih 8,600 mangsa terkorban sejak tentera pakatan diketuai Arab Saudi itu menyertai perang di Yaman pada 2015.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Fuziah bakal jalin kerjasama dengan UAE, pastikan bantuan banjir adil dan telus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 26 DIS: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan berhubung secara terus dengan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi memastikan mangsa banjir di Kuantan tidak dipinggirkan dalam pengagihan bantuan yang disalurkan kerajaan negara itu.

Katanya, tindakan terbabit diambil ekoran wujudnya kemungkinan bantuan berkenaan dengan sengaja tidak disalurkan secara adil dan telus hanya disebabkan Kuantan dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

“Saya akan menjalinkan kerjasama dengan UAE untuk memberikan penerangan sebenar yang berlaku iaitu Kuantan adalah kawasan paling teruk terjejas dilanda banjir kerana mereka mungkin tidak mempunyai maklumat sebenar.

Fuziah Salleh“Tindakan ini diambil kerana kenyataan asal bantuan itu disalurkan untuk mangsa banjir di Pekan, Pahang dan Kelantan, manakala Kuantan tidak disebut,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Selain itu, Fuziah juga khuatir terhadap mekanisma pengagihan bantuan yang tidak telus sehingga menyebabkan golongan menangguk di air keruh mengambil keuntungan peribadi dalam menguruskan bantuan terbabit.

“Bantuan ini akan digunakan untuk membina rumah dengan membeli bahan binaan daripada pasaran tempatan yang mungkin akan membabitkan berapa ramai orang tengah yang cuba mengaut keuntungan.

“Bila rumah sudah siap nanti, kita tidak mahu kos sebuah rumah yang sepatutnya RM30 ribu hingga RM40 ribu tetapi mencecah hingga RM70 ribu dan ini yang saya bimbangkan,” katanya.

Fuziah berkata, perbuatan golongan tidak bertanggungjawab itu juga akan menyebabkan mangsa banjir sebenar tercicir daripada mendapat bantuan yang seharusnya mditerima.

Sebelum ini, Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan mengarahkan supaya kerajaan negara itu memperuntukkan AS$10 juta (RM32.5 juta) bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, baru-baru ini.

Bantuan terbabit berbentuk keperluan asas seperti kediaman yang diperoleh daripada pasaran tempatan dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia.

-NFN-