Categories
NASIONAL

Tarif elektrik : Tony Pua selar tindakan Najib

Oleh : Norhayati Umor

SHAH ALAM 8 DIS : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyelar tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terus mempertahankan kenaikan tarif elektrik dengan alasan tidak akan memberikan kesan keterlaluan.

Tony turut mempersoalkan tindakan Najib yang mahu menyelamatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedangkan syarikat terbabit mendapat keuntungan berbilion ringgit tahun ini.

tony-pua“Najib perlu jawab mengapa mahu terus selamatkan TNB sedangkan syarikat itu banyak kaut keuntungan hingga mencecah berbilion ringgit.
Mengapa rakyat yang kena bayar dan tanggung tetapi kroni penjana bebas untung,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pusat tidak boleh membebankan rakyat kerana syarikat itu sudah diberi konsensi jangka masa lama dan harga yang mahal.

“Mereka ini mereka sudah cukup untung. Mengapa kontrak kenaikan elektrik tidak dirunding semula dan tidak seperti yang dijanjikan, bahkan jelas kita dapat lihat rakyat dibelakangkan serta kroni diutamakan,” katanya.

Beliau meminta perwakilan Umno yang tidak bersetuju dengan kenaikan elektrik itu supaya tidak hipokrit.

“Sudah tentu mereka yang tidak bersetuju itu tidak mendapat manfaat. Jika tidak, sudah tentu mereka tidak akan bantah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kadar caj perlu disusun semula dengan formula tertentu supaya dapat meningkatkan keberkesanan TNB.

“Mereka berhak naikkan tarif, tetapi biar kelemahan diatasi sebab kini TNB kurang efisyen. Jadi, TNB harus tanggung perbelanjaan itu dan perlu ada formula untuk mengatasi bukannya ditentukan kabinet,” katanya.

najib mugshot interview 01Semalam, Malaysia Kini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan kenaikan tarif elektrik Malaysia dengan alasan TNB memerlukan wang untuk pelaburan sebanyak RM6 bilion setahun.

Najib turut menjawab rakyat perlu terus bersabar dan berkorban untuk keuntuhan kewangan negara, selain menegaskan kenaikan itu tidak akan memberi kesan keterlaluan kerana majoriti tidak terjejas.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.