Categories
SELANGOR

Facebook Denggi Selangor cetus kesedaran bahaya wabak

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 12 FEB : Dalam usaha memperluaskan skop kesedaran kes denggi yang semakin membimbangkan di Selangor, laman sosial Facebook mengenainya dilancarkan baru-baru ini.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi Dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata peranan laman media sosial seperti Facebook penting bagi mendapatkan impak pendidikan kesihatan yang lebih meluas.

Katanya, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kes denggi di negeri ini melalui laman Facebook yang boleh dilayari di www.facebook.com/situasidenggiselangor.

denggi edit“Masyarakat umum digalakkan melayari Facebook ini kerana selain mendapat maklumat denggi terkini, mereka boleh mempelajari kaedah pencegahan denggi serta melihat sendiri perkongsian gambar tempat berisiko pembiakan Aedes.

“Mereka digalakkan bertanya soalan dan memberi pendapat serta cadangan bagi mengukuhkan lagi program kawalan denggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut situasi denggi di Selangor, Daroyah berkata Kerajaan Negeri dalam tempoh dua bulan lepas melipat gandakan usaha membasmi wabak denggi ini melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dr Daroyah Beri Tumpuan Bangun Infrastruktur 01Antara strategi utama program kawalan denggi di Negeri Selangor adalah melalui aktiviti ‘cari dan musnah’ kawasan potensi pembiakan nyamuk di dalam dan di luar rumah termasuk gotong-royong berkala.

Ia meliputi gotong royong isi rumah, penubuhan Pasukan COMBI (Communication for Behavioral Impact) Denggi dan Skuad Anti-Denggi.

“Masyarakat digalakkan melaksanakan tindakan proaktif perlindungan diri seperti menggunakan baju lengan panjang dan seluar panjang semasa berada di luar di waktu puncak jangkitan (awal pagi dan lewat petang) serta memakai ‘insect repellent’ terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Bagi aplikasi sendiri di rumah, penggunaan alat sembur nyamuk serta racun pembunuh jentik-jentik digalakkan bagi mengurangkan risiko digigit nyamuk,” katanya lagi.

Sehingga 8 Februari 2014, sejumlah 6,211 kes denggi yang disahkan melalui ujian makmal di laporkan di Selangor berbanding dengan 1,367 kes denggi untuk tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 354 peratus.

Empat daerah utama yang menunjukkan beban kes denggi tertinggi adalah daerah Petaling dengan 2738 kes, Hulu Langat (1784 kes), Gombak (644 kes) dan Klang (775 kes).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.