Categories
SELANGOR

MPSJ hasrat kembang projek Nyamuk Toxo perangi wabak denggi

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 25 FEB : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berhasrat mengembangkan lagi projek pembiakan nyamuk Toxorhynchites (Toxo) sebagai inovasi pihaknya memerangi wabak denggi secara biologi di wilayah itu.

Keputusan tersebut diambil setelah projek perintis yang dijalankan di Kampung Sri Aman di Subang Jaya sebagai tapak kajian sejak Jun 2011 mendatangkan hasil positif dan membanggakan.

nyamuk toxo 02Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata kajian peringkat awal mendapati bilangan kes demam denggi di tapak kajian tersebut menunjukkan penurunan yang ketara.

“Jentik-jentik nyamuk Toxo atau ‘nyamuk gajah’ bertindak memakan jentik-jentik nyamuk Aedes sekaligus mengurangkan pembiakan pembawa demam denggi.

“Inovasi ini berjaya dan MPSJ berhasrat melepaskan lagi jentik-jentik dan nyamuk Toxo ke kawasan lain dengan harapan ia dapat membantu mengurangkan penularan kes denggi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi kepada Selangor Kini.

Bermula pada 2011, MPSJ dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB mengerakkan usaha membangunkan inovasi pencegahan pembiakan Aedes dengan melepaskan jentik-jentik dan nyamuk Toxo dewasa.

Bagi pelaksanaan program tersebut, CIMB telah memperuntukkan dana sebanyak RM60,000.

Sebagai permulaan, Kampung Sri Aman dipilih sebagai tapak kajian memandangkan kawasan itu mencatatkan wabak denggi terburuk dengan 20 kes dilaporkan bagi tempoh bermula Mac 2011 hingga April 2012.

nyamuk toxo 01Bagaimana pun, dalam tempoh sekitar Ogos 2012 sehingga Julai 2013, tiada kes denggi dilaporkan berlaku di Kampung tersebut.

Pada September 2013, MPSJ juga telah memperluas program tersebut ke Pangsapuri Sri Tanjung, di USJ 16 berikutan populasi nyamuk Aedes dikawasan itu tinggi antara 500 ke 700 jentik-jentik setiap bulan.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.